MANCHESTER, 26 APRIL – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahang perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris semakin terasa ketika pasukan bimbingannya menghampiri Arsenal menjelang pertembungan dua pasukan tangga teratas itu esok.
The Gunners mendahului lima mata ke atas juara bertahan itu, tetapi momentum berpihak kepada City yang menyaksikan mereka mempunyai baki dua perlawanan dalam tangan selain Arsenal seri dalam tiga perlawanan terakhir mereka.
Guardiola memburu gelaran liga kelimanya dalam tujuh musim di England tetapi percaya perasaan gementar adalah petanda yang baik sekali gus membuktikan dia masih dahagakan lebih banyak kejayaan.
“Ia adalah satu petanda yang baik, menjadi sedikit gementar,” kata Guardiola ketika sidang media menjelang pertemuan dengan Arsenal.
“Gementar adalah sebahagian daripada kehidupan kita, perasaan takut adalah sebahagian daripada hidup kita. Kita tidak perlu menjadi sempurna.

“Apabila kita mendidik anak-anak kita, mereka (berfikir) harus menjadi sempurna untuk Instagram dan TikTok, dan perkara seperti ini, mereka harus menjadi seorang yang bijak.
“Namun, saya akan katakan ketidakpastian, perkara yang berlaku sebelum perlawanan, berlaku. Apabila saya merasakan perasaan itu saya tahu ia adalah perkara biasa.
Masalahnya adalah jika saya tidak mempunyai perasaan itu.”
Penerima taruhan kini menjadikan City sebagai pilihan bukan sahaja untuk mempertahankan kejuaraan mereka tetapi mengulangi pencapaian Manchester United pada musim 1998/1999 sebagai satu-satunya pasukan Inggeris yang memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA dalam musim yang sama.
Bagaimanapun, Guardiola memberi amaran apabila dia menjangkakan tentangan sengit daripada Arsenal selepas lawan itu keciciran mata susulan keputusan seri dengan Liverpool, West Ham dan pasukan tangga tercorot, Southampton.
“Saya sentiasa merasakan bahawa ia akan menjadi sangat sukar untuk bermain dengan mereka pada peringkat ini tetapi selepas tiga perlawanan kehilangan mata, ia akan menjadi jauh lebih sukar sekarang,” kata Guardiola.
“Saya lebih suka jika mereka datang ke sini dengan keputusan yang lebih baik daripada tiga keputusan terakhir apabila mereka tidak memenangi perlawanan.” – AFP