Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Haaland cetak 3 gol benam Chelsea

    WASHINGTON, 4 OGOS – Erling Haaland mencatatkan hatrik, termasuk dua gol dalam lima minit pertama, membawa Manchester City menang ke atas Chelsea 4-2 dalam perlawanan persahabatan bola sepak kelab Inggeris di Columbus, Ohio kelmarin.

    Penyandang juara Liga Perdana, City menjaringkan gol 54 saat selang pada separuh masa pertama dan 71 saat pada separuh masa kedua untuk mendominasi perlawanan, sebahagian daripada jelajah pramusim Amerika Syarikat (AS) untuk kedua-dua kelab Liga Perdana.

    Haaland memakai lilitan kapten dan menunjukkan kepada 71,280 orang mengapa dia dianggap antara pemain terbaik di dunia.

    Penyerang Norway berusia 24 tahun itu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit keempat dan, selepas Moises Caicedo membuat kesilapan, Haaland melepaskan rembatan kaki kanan ke sudut kanan untuk menjadikan City mendahului 2-0 pada minit kelima, hanya 17 saat selepas perlawanan disambung semula.

    Oscar Bobb memberikan City pendahuluan 3-0 pada minit ke-55, membawa bola ke sayap kanan dan memotong bahagian dalam untuk melepaskan rembatan kaki kiri melepasi pemain pertahanan dan tepat di dalam tiang dekat.

    Haaland kemudian menyempurnakan hatriknya pada minit ke-56 selepas City memaksa satu lagi kesilapan di kawasan Chelsea.

    Haaland menerima hantaran di bahagian atas kotak antara dua pemain pertahanan dan melepaskan rembatan kaki kiri untuk menjadikan City mendahului 4-0 hanya 25 saat selepas bermula semula.

    Raheem Sterling membalas untuk Chelsea pada minit ke-59 dan Noni Madueke menambah gol terakhir pada minit ke-89 tetapi ia sudah terlambat.

    Perlawanan itu adalah pratonton permulaan kempen 2024-25 untuk kedua-dua kelab. Manchester City akan membuka musim menentang Chelsea pada 18 Ogos. – AFP

    Reaksi Haaland selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak di Stadium Ohio di Columbus, Ohio pada 3 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda