KUALA LUMPUR, 13 FEB – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah sejak memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Jan 2019, baginda telah menggalas amanat berat untuk memilih dan melantik empat perdana menteri berbeza bermula dengan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.
“Beta telah bersemayam di atas takhta singgahsana kerajaan Malaysia bermula pada 31 Jan 2019. Sehingga ke hari ini, beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan. Terpahat dalam sejarah negara bahawa beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.
“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah baginda juga tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara mahupun mengatur percaturan landskap politik tanah air.
Namun baginda bertitah pada pe-ngamatan Seri Paduka, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan. – Bernama