Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hiroshima memperingati mangsa bom atom 1945

    TOKYO, 6 OGOS – Datuk Bandar Hiroshima berkata hari ini bahawa peperangan di Ukraine dan Gaza menambah ketakutan dan ketidakpercayaan di seluruh dunia, pada ulang tahun ke-79 pengeboman atom yang memusnahkan bandar Jepun itu.

    Kazumi Matsui menyampaikan ucapan suram pada acara sempena memperingati mangsa-mangsa serangan nuklear Amerika Syarikat (AS) pada 6 Ogos 1945 yang membunuh kira-kira 140,000 orang.

    “Pencerobohan berpanjangan Rusia ke atas Ukraine dan keadaan perang yang semakin buruk antara Israel dan Palestin sedang meragut nyawa orang tidak berdosa yang tidak terkira banyaknya dan menghancurkan kehidupan normal,” katanya.

    “Tragedi-tragedi global ini menguatkan lagi rasa tidak percaya dan ketakutan dalam kalangan negara-negara, mengukuhkan andaian orang ramai bahawa untuk menyelesaikan masalah antarabangsa, kita perlu bergantung kepada kekuatan tentera, yang sepatutnya kita tolak.”

    Beberapa hari selepas serangan Hiroshima pada 1945, bom nuklear AS kedua melanda Nagasaki di barat daya Jepun, membunuh kira-kira 74,000 orang.

    Kedua-dua serangan itu membawa kepada berakhirnya Perang Dunia Kedua, dan sehingga hari ini Jepun kekal sebagai satu-satunya negara yang diserang senjata atom pada zaman perang.

    Semasa acara hari ini, orang-orang kenamaan termasuk Perdana Menteri Fumio Kishida – semuanya berpakaian sut hitam – tunduk dan meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan yang memaparkan tulisan ‘bersemadi dengan aman.’ – AFP

    Orang ramai meletakkan bunga pada Majlis Memorial Keamanan yang diadakan di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima kelmarin, semasa upacara menandakan ulang tahun ke-79 serangan bom atom pertama di dunia. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda