Monday, September 9, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hot FM minta pendapat ramai nak pancing Tyzo

    Sehari selepas perkhidmatan Tyzo bersama Suria FM tamat, isu berkenaan menjadi tular sehingga mencetus pelbagai komen pendengar.

    Hal ini membuka peluang kepada Hot FM untuk memancing penyampai berkenaan dengan meminta pendapat ramai adakah perlu Tyzo menyertai mereka.

    Poster yang ditulis Tyzo join Hot FM Korang on tak on? dikongsi menerusi Instagram rasmi radio itu mendapat reaksi positif orang ramai.

    “Aku mendengar suara mu. Awda setuju kalau Tyzo sertai Hot FM?

    “Komen dan tag Tyzo. Kami nak set waktu lepak dengan Tyzo,” begitu yang ditulis menerusi kapsyen di akaun Instagram stesen radio berkenaan.

    Tyzo sedia berbincang dengan mana-mana stesen radio lain. – Harian Metro

    Poster berkenaan turut berkongsi gambar Tyzo menggenggam trofi Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) yang dimenangi tahun lalu.

    Kemenangan tersebut merupakan yang pertama buat Tyzo selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran.

    Hantaran berkenaan yang dimuat naik sekitar dua jam lalu mendapat lebih 2,200 komen yang rata-rata bersetuju deejay berkenaan menyertai Hot FM.

    Tidak kurang juga ramai yang terhibur kerana stesen Hot FM bijak mengambil kesempatan dan bijak mencari peluang.

    “Tolonglah ambil Tyzo. Pasti Hot FM nombor satu.

    “Laju Hot FM buat kerja. Memang setuju Tyzo ke Hot FM.

    “Macam pisang panas Tyzo. Ramai nak ambil kerja,” komen warganet.

    Sementara itu, Tyzo ketika dihubungi mStar memberitahu dia belum menerima sebarang panggilan daripada pihak pengurusan Hot FM berhubung tawaran itu.

    Tyzo memberitahu dia terbuka untuk berbincang dengan Hot FM atau mana-mana stesen radio lain yang sudi menawarkan peluang pekerjaan kepadanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda