Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Il Divo kehilangan seorang ahli

    Dunia muzik antarabangsa meratapi pemergian vokalis lelaki terkenal, Carlos Marin, 53, yang meninggal dunia pada Ahad lalu, setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Manchester Royal Medical Center, England pada 8 Disember lalu.

    Kematian Carlos telah diumumkan oleh tiga lagi ahli kumpulan Il Divo yang lain, David Miller, Sebastien Izambard, dan Urs Buhler menerusi laman sesawang kumpulan tersebut.

    “Dengan berat hati kami memberitahu anda bahawa rakan dan ahli kumpulan kami, Carlos Marin, telah meninggal dunia. Dia akan dirindui oleh rakan-rakan, keluarga dan peminatnya. Tidak akan ada lagi suara atau semangat seperti Carlos,” kongsi Il Divo.

    Tambah mereka, “Sepanjang 17 tahun kami berempat melalui perjalanan yang hebat menerajui Il Divo ini bersama-sama, dan kami akan merindui sahabat tersayang kami. Kami berharap dan berdoa agar rohnya akan tenang di alam sana.”

    Sebelum berita tentang kemasukan Carlos ke hospital tular, kumpulan klasikal moden ini telah menunda jelajah Konsert Krismas 2021 disebabkan sakit berterusan yang dihadapi mendiang.

    Il Divo terdiri daripada empat vokalis tenor dan bariton yang berasal dari empat negara berbeza iaitu (dari kiri) Urs Buhler, Carlos Marin, David Miller dan Sebastien Izambard. – Agensi

    Popular dengan paduan vokal yang memukau, Il Divo ialah kumpulan penyangi yang terdiri daripada empat vokalis tenor dan bariton yang berasal dari empat negara berbeza.

    Urs Buhler berasal dari Switzerland, David Miller dari Amerika Syarikat, Sebastien Izambard dari Perancis dan Carlos Marin dari Sepanyol.

    Mereka berempat telah disatukan bersama sebagai satu kumpulan oleh personaliti televisyen dan muzik terkenal, Simon Cowell. Kumpulan ini bernanung di bawah label Syco Records yang merupakan anak syarikat Sony Music.

    Dalam satu hantaran di laman Instagram, Simon Cowell berkata, “Susah untuk digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasakan sekarang. Saya berasa sangat sedih dengan pemergian Carlos.

    “Dia sukakan kehidupan, dia suka melakukan persembahan dan sentiasa menunjukkan apresiasi kepada para peminat yang menyokong kumpulan tersebut sejak hari pertama. Tenanglah engkau Carlos di alam sana. Saya akan merindui kamu.”

    Sepanjang kerjaya mereka selama lebih 17 tahun, kumpulan Il Divo telah menjual lebih 30 juta album seluruh dunia.

    Kumpulan juga mencipta rekod apabila tiket konsert untuk album pertama mereka terjual lebih dua juta keping. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda