Pelakon Indonesia, Prilly Latuconsina mendedahkan keinginannya untuk menunaikan ibadah haji bersama keluarga tidak kesampaian.
Kata Prilly, 28, niat itu terbantut kerana bapanya tidak memasukkan namanya dalam senarai ketika membuat pendaftaran lima tahun lalu.
Jelasnya, bapanya iaitu Rizal Latuconsina beranggapan yang pelakon tersebut akan berkahwin dan tidak mendaftarkan namanya.
“Ibu bapa saya sudah daftar haji sejak lima tahun lalu, ketika itu mereka mahu daftarkan nama saya juga.
“Tapi ayah saya terlalu berfikiran positif sehingga mengandaikan yang saya bakal menikah pada usia 28 dan sebab itu dia tidak daftar nama saya,” katanya memetik laporan mStar.
Bagaimanapun, jangkaan bapanya meleset sama sekali apabila Prilly sehingga kini masih membujang.
“Ayah saya berfikir kalau sudah kahwin, saya boleh pergi tunaikan haji dengan suami saya sendiri. Ternyata ramalan ayah saya salah belaka!” ujarnya.
Sebelum ini, Prilly memaklumkan ibu bapa bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 8 Jun lalu menerusi hantaran di Instagram. – Agensi