Thursday, May 2, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Indonesia akan robohkan stadium

    JAKARTA, 18 OKT – Stadium bola sepak Indonesia di mana kejadian rempuhan membunuh 133 orang akan dirobohkan dan dibangunkan semula, Presiden Joko Widodo berkata hari ini, ketika ketua FIFA berikrar untuk membantu ‘reformasi dan transformasi’ sukan itu di negara berkenaan.

    Presiden FIFA, Gianni Infantino bertemu Widodo di ibu kota Jakarta, hanya dua minggu selepas tragedi itu, dan setahun sebelum Piala Dunia Bawah 20 dijadualkan diadakan di negara itu.

    Lebih 40 kanak-kanak adalah antara yang terbunuh di bandar Malang, Jawa Timur pada 1 Oktober lalu, dalam apa yang Infantino sifatkan sebagai “salah satu hari-hari paling gelap bagi bola sepak”.

    “Bagi stadium Kanjuruhan di Malang, kami akan merobohkan dan membinanya semu-la mengikut standard FIFA,” Widodo memberitahu pemberita. Beliau berkata, stadium baharu itu akan mempunyai “kemudahan sewajarnya yang akan memastikan keselamatan pemain dan penyokong”.

    “Kami akan membaharui dan mentransformasikan bola sepak di negara ini,” tambah Infantino pula.

    Jaminan itu dibuat ketika pegawai-pegawai hospital berkata seorang lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami semasa rempuhan itu, membawa angka korban kepada 133.

    “Apa yang dapat saya jamin kepada rakyat Indonesia: FIFA di sini bersama awda, FIFA di sini untuk kekal, FIFA di sini untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan, Persekutuan Bola Sepak Asia dan dengan persekutuan Indonesia,” Infantino berkata.

    Fokus utama adalah memperbaiki operasi-operasi stadium dan tingkah laku peminat, tambahnya, serta mewujudkan program-program bagi bola sepak di sekolah-sekolah.

    “Kami akan membawa pakar-pakar, kami akan membantu dan melabur, dan kami akan memastikan bahawa Indonesia menyerlah di pentas bola sepak global,” ujarnya. – AFP

    Presiden Joko Widodo (kiri) menerima bola daripada Gianni Infantino semasa pertemuan mereka di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia, kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Angka kematian lebuh raya runtuh di China meningkat kepada 36

    GUANGZHOU, 2 MEI - Angka kematian akibat sebahagian lebuh raya di wilayah Guangdong, selatan China runtuh meningkat kepada 36 orang, kata pihak berkuasa tempatan,...