Thursday, January 16, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jangan berhenti melawan hawa nafsu’

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan bahawa perjuangan melawan hawa nafsu tidak boleh putus atau terhenti setakat bulan Ramadan sahaja, tetapi ia mesti diteruskan selama-lamanya.

    “Perjuangan ini adalah ‘ujian’ sebenar bagi kita selaku umat Islam,” tekan Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman.

    Baginda terdahulu menyatakan bahawa sesungguhnya Hari Raya adalah detik ditunggu-tunggu setelah berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa dan ia adalah kejayaan paling agung, kejayaan melawan hawa nafsu.

    “Demikian juga ketika kita merayakan Hari Raya, perjuangan melawan hawa nafsu mesti diteruskan, seperti melawan hawa nafsu yang menyuruh kita membazir dan melawan hawa nafsu yang menyuruh kita lari daripada agama ketika merayakan Hari Raya.

    Kita merayakan Hari Raya tetap terikat kepada agama. Ketika berhari raya, kita tidak boleh meninggalkan atau terlepas dari kewajipan sembahyang. Ketika berhari raya, kita juga tidak boleh terlalu lalai atau asyik sehingga terjebak kepada dosa.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidilfitri. – Gambar oleh Infofoto

    “Inilah unik dan sucinya Hari Raya kita. Mula-mula perayaan dibuka ialah dengan takbir, dengan kalimat suci ‘Allahuakbar’, dan kemudian dengan tahlil ‘Lailahaillallah’ dan ditutup pula sekali lagi dengan ‘Allahuakbar’ dan ‘Walillahil Hamd’.

    “Kemudian kita bergerak ke masjid untuk terus melakukan takbir dan seterusnya sembahyang Sunat Hari Raya. Lihatlah betapa suci dan indahnya Hari Raya kita.

    “Selepas itu, kita akan bergerak menemui ibu bapa untuk memohon kemaafan mereka, menemui sanak saudara, sahabat handai dan kawan-kawan,” titah Baginda lagi.

    Baginda menerangkan semua pertemuan itu berkonsepkan ziarah-menziarahi yang sangat digalakkan oleh Islam dan juga satu cara untuk menjalinkan silaturahim.

    Baginda Sultan kemudiannya bertitah menyatakan rasa gembira dengan suasana dalam negara yang cukup mengizinkan untuk rakyat dan penduduk dapat menikmati Hari Raya dengan penuh keriangan dan kebahagiaan, dan Baginda berharap keadaan seperti ini akan terus berkekalan hendaknya.

    Di hujung titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda dengan hati yang jernih putih serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada.

    “Semoga kita sama-sama dalam aman sejahtera. Amin Yaa Rabbal Alamin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahil Hamd,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda