KOTA KINABALU, 20 Jun – Satu jawatankuasa khas dicadangkan bagi mencari jalan untuk memastikan golongan peniaga dan pemborong di Sabah menurunkan harga barang dan perkhidmatan selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dihapuskan mulai 1 Jun lepas.
Aktivis hak asasi manusia dan pengguna negeri Datuk Patrick Sindu berkata biarpun kerajaan pusat telah menguatkuasakan penghapusan enam peratus GST itu, masih terdapat harga barangan yang tidak diturunkan.
“Apabila sesuatu barangan itu telah dinaikkan harga, selalunya harga barangan tidak akan turun lagi.
“Oleh itu, saya mencadangkan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memastikan peniaga dan pemborong tidak mengambil kesempatan ke atas pembeli,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Patrick mengulas saranan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam agar pihak berkuasa dan badan pemantau harga barangan di negeri ini menyiasat jika masih berlaku peningkatan harga barang selepas GST ditetapkan berkadar sifar.
Aktivis itu menyokong penuh saranan Ketua Menteri itu dan berharap golongan peniaga dan pemborong di negeri ini mempunyai sifat tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, di samping masyarakat menggunakan hak kepenggunaan mereka. – Bernama