TOKYO, 22 Jun – Jepun hari ini menggantung latihan pemindahan bagi serangan peluru berpandu Korea Utara selepas rundingan bersejarah antara Washington dan Pyongyang, kata jurucakap tertinggi kerajaan.
Keputusan itu berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan sidang kemuncak minggu lalu di Singapura dan menandatangani satu dokumen bersama yang menggesa semenanjung Korea yang bebas daripada senjata nuklear.
“Berikutan pencapaian yang dibuat dalam sidang kemuncak Korea Utara, kami akan menghentikan latihan yang melibatkan penduduk awam buat masa ini,” kata Yoshihide Suga kepada pemberita, mengesahkan laporan awal tersebut.
Sebaliknya, kerajaan akan memberikan perhatiannya untuk memastikan orang ramai diberitahu tentang sistem keselamatan negara dan ‘bagaimana untuk bertindak’ jika peluru berpandu menyerang wilayah Jepun, kata Suga.
Tahun lepas, Pyongyang melepaskan dua peluru berpandu ke atas Jepun mencetuskan situasi panik dan kemarahan daripada penduduk tempatan.
Korea Utara telah mengetepikan Jepun, sekutu AS yang utama di rantau ini, kerana serangan lisan ke atas mereka, mengancam untuk ‘menenggelamkan’ negara itu ke laut dan menjadikannya ‘abu’.
Walau bagaimanapun, suasana serantau telah berubah ke arah diplomasi sejak Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan awal tahun ini, yang menamatkan satu siri gerakan diplomatik sehingga kepada pertemuan bersejarah antara Kim dan Trump. Berikutan keputusan itu, sembilan latihan yang dirancang untuk tahun ini akan dibatalkan, kata seorang pegawai pejabat kabinet.
Dua latihan telah diadakan pada tahun ini dan 24 latihan dilakukan sehingga Mac lalu, termasuk satu di Tokyo pada bulan Januari apabila beratus-ratus penduduk bergegas untuk berlindung di sebuah taman hiburan. – AFP