TOKYO, 5 JUN – Jepun, pusat budaya pop yang terkenal, bercadang untuk mengembangkan pasaran antarabangsa bagi permainan video, manga dan anime sehingga empat kali ganda kepada AS$130 bilion dalam tempoh satu dekad, menurut kenyataan kerajaan.
Jepun, tempat lahir beberapa siri epik komik dan kartun seperti Dragon Ball serta francais permainan dari Super Mario hingga Final Fantasy, melihat industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan setanding dengan industri keluli dan semikonduktor.
Dalam strategi Cool Japan yang dikemaskini kelmarin, kerajaan Jepun berkata ia menyasarkan untuk meningkatkan eksport aset budaya itu kepada hampir AS$130 bilion menjelang 2033.
Pada tahun 2022, sektor permainan, anime dan manga Jepun memperoleh 4.7 trilion yen dari luar negara – hampir menyamai eksport cip mikro pada 5.7 trilion yen, menurut data kerajaan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kandungan seperti anime dan manga memainkan peranan yang sangat penting dalam menarik minat golongan muda di luar negara, menjadi ‘pintu masuk’ mereka ke Jepun,” menurut dokumen strategi itu.
Ledakan penstriman semasa pandemik membantu meningkatkan profil global anime, termasuk francais seperti Demon Slayer yang mencatat kejayaan Box Office global.
Fenomena Vtubers yang berkembang – YouTuber animasi maya – bermain permainan video juga membantu memperkukuh pengaruh budaya global Jepun, menurut strategi itu.
Menggabungkan pertumbuhan sektor-sektor ini dengan industri berkaitan termasuk fesyen, kosmetik dan pelancongan masuk, Jepun menyasarkan manfaat ekonomi sebanyak 50 trilion yen menjelang 2033. – AFP