SYDNEY, 6 JUN – Seekor jerung harimau telah mengejutkan saintis Australia semasa mengadakan perjalanan penyelidikan laut dengan memuntahkan echidna, sejenis landak berduri di hadapan mereka.
Penyelidik dari Universiti James Cook sedang menandakan hidupan marin di pantai timur laut apabila jerung harimau berukuran tiga meter yang ditangkap mereka memuntahkan seekor landak echidna mati, sejenis haiwan berduri yang serupa dengan landak.
Nicolas Lubitz berkata dia hanya boleh menganggap jerung itu memakan echidna semasa ia berenang di kawasan cetek di pulau itu, atau berenang di antara pulau, yang diketahui dilakukan oleh haiwan berkenaan.
“Kami agak terkejut dengan apa yang kami lihat. Kami benar-benar tidak tahu apa yang berlaku,” katanya hari ini.
“Apabila ia memuntahkannya, saya melihatnya dan berkata ‘Apa yang sedang berlaku?'”
Lubitz berkata echidna yang mati itu masih dalam keadaan asal apabila ia dimuntahkan pada Mei 2022, menyebabkan saintis menganggap jerung itu baharu memakannya.
Echidna yang hanya terdapat di Australia dan New Guinea adalah mamalia bertelur, mempunyai duri yang menonjol dari badannya dan menggunakan muncung seperti paruh untuk memakan semut. – AFP