Oleh Sim Y. H. dan Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Dalam sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035, semua pihak termasuk sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh rakyat dan penduduk, perlu serentak berusaha untuk menjayakan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan semangat dan pendekatan senegara, Whole of Nation Approach, yang mantap.
Seruan itu dibuat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1444H / 2023M anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.
Sehubungan itu, Baginda mengalu-alukan kehadiran para peserta sambutan Hari Raya yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta termasuk badan-badan berkebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Beta difahamkan bahawa GLC dan syarikat swasta yang dijemput adalah mereka yang aktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR),” titah Baginda.
Baginda bertitah bahawa keprihatinan mereka mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tentu saja memberi impak positif kepada matlamat wawasan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
Baginda seterusnya bertitah, “Beta juga sukacita mengalu-alukan kehadiran sebahagian golongan war-ga emas, para belia dan generasi muda yang terdiri daripada para pelajar, yang mewakili seluruh lapisan penduduk.
“Inilah yang kita harapkan supaya semua lapisan bukan hanya setakat mengambil tahu malah juga menjiwai matlamat wawasan, bukannya asyik leka dengan keseronokan yang melalaikan,” titah Baginda.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2023, Baginda menekankan ia bukanlah semata-mata diasaskan kepada kemajuan fizikal dan pencapaian pendidikan serta kemahiran, termasuk pendapatan per kapita yang ditakrifkan sebagai maju tetapi turut paling utama ialah keberkatan dalam semua aspek kehidupan menurut landasan agama Islam yang suci kerana ia kunci kejayaan yang hakiki disertai dengan pengalaman falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) yang telah kita sebatikan.
Terdahulu, Baginda bertitah dalam kemeriahan meraikan Aidilfitri, kita hendaklah tidak melupakan cabaran penularan wabak koronavirus di Fasa Endemik ini.
“Kita perlu terus menghormati dan mengamalkan protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memelihara ke-sejahteraan bersama.”
Baginda bertitah kita juga perlu menyedari, selain penularan dan kesan wabak koronavirus, dunia kita juga sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks.
“Maka di sinilah semua pihak perlu membuat perancangan yang strategik untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.”
Baginda seterusnya bertitah menyambut baik tema Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan iaitu ‘Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035’, di mana wawasan itu adalah aspirasi masa depan bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara yang dikenali mempunyai penduduk berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.