Setelah sekian lama menjalinkan hubungan cinta, pelakon Jo Bo Ah akhirnya bakal menamatkan zaman solo penghujung tahun ini, lapor mStar.
Bagaimanapun Bo Ah tetap dengan pendirian untuk tidak mendedahkan identiti jejaka yang berjaya menambat hatinya.
Berita gembira tersebut turut disahkan oleh syarikat pengurusan pelakon berkenaan iaitu Sidus HQ menerusi kenyataan rasmi kepada pihak media di Korea Selatan.
“Jo Bo Ah sudah bertemu dengan seorang lelaki sangat dipercayai malah mereka sangat mencintai di antara satu sama lain.
“Jo Bo Ah memutuskan untuk menghabiskan sisa hidup bersama bakal suaminya dan majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung pada musim luruh akan datang,” kata kenyataan berkenaan.
Sidus HQ dalam kenyataan sama memberitahu pasangan berkenaan akan disatukan dalam sebuah majlis tertutup di Seoul dan hanya dihadiri oleh kenalan rapat dan ahli keluarga.
Bo Ah atau Jo Bo Yoon, 33, sebelum ini popular menerusi beberapa drama seperti Goodbye to Goodbye, My Strange Hero, Forest, Military Prosecutor Doberman dan Destined With You.
Bo Ah dan teman lelakinya dilaporkan sudah lama menjalinkan hubungan cinta namun cukup jarang dilihat bersama di khalayak ramai. – Agensi