Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jordan sokong pembinaan semula Syria

    AMMAN, 23 DIS – Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, menyatakan sokongan negaranya terhadap pembinaan semula Syria dalam pertemuan dengan pemimpin baharunya Ahmed al-Sharaa hari ini, dalam lawatan terbaharu ke Damsyik oleh delegasi berprofil tinggi sejak penggulingan Bashar al-Assad.

    Ia adalah lawatan pertama ke Syria oleh pegawai kanan Jordan sejak kejatuhan Assad, dengan imej yang diedarkan oleh kementerian luar Jordan menunjukkan Safadi dan Sharaa berjabat tangan.

    Televisyen rasmi Jordan, Al-Mamlaka kemudian melaporkan, Safadi telah membincangkan jalan kerjasama dengan pihak berkuasa baharu, termasuk dalam bidang perdagangan, pengurusan sempadan, bantuan dan sambu-ngan elektrik, bersama dengan keselamatan.

    Safadi menyatakan sokongan untuk sebuah ‘kerajaan yang mewakili semua spektrum di Syria,’ serta ‘penggubalan perlembagaan baharu,” menurut Al-Mamlaka.

    “Kami bersetuju untuk menyokong rakyat Syria dalam membina semula negeri mereka,” katanya dipetik sebagai berkata, sambil menambah ‘negara-negara Arab bersetuju untuk menyokong Syria pada peringkat ini tanpa sebarang campur tangan luar.’

    Jordan, yang bersempadan dengan Syria di selatan, menjadi tuan rumah sidang kemuncak awal bulan ini di mana diplomat Arab, Turkiye, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat menyeru peralihan yang inklusif dan aman selepas perang saudara bertahun-tahun.

    Ketua kumpulan Islam Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Sharaa, yang menerajui serangan menggulingkan Assad 8 Disember lalu, telah mengalu-alukan pegawai kanan dari beberapa buah negara Timur Tengah sejak kebelakangan ini.

    Sementara itu, jurucakap kerajaan Jordan, Mohamed Momani, berkata kepada pemberita kelmarin, ‘Amman berpihak kepada kehendak rakyat Syria yang bersaudara dan menekankan hubungan rapat antara kedua-dua buah negara.’ – AFP

    Ahmed al-Sharaa (tengah), tiba untuk pertemuan dengan pegawai Druze dari Parti Sosialis Progresif Lubnan (PSP) yang mengadakan lawatan ke Damsyik pada 22 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda