Oleh Ak Zaki Kasharan
Kuih raya merupakan salah satu elemen penting semasa sambutan Hari Raya di mana ramai pelanggan mungkin mengalami dilema antara membeli atau membuat kuih raya sendiri khususnya apabila seluruh dunia mengalami kenaikan harga atau inflasi harga barangan termasuklah dalam penyediaan barangan perayaan.
Beberapa faktor turut diambil kira oleh para pelanggan di negara ini dalam membuat keputusan yang lebih baik sama ada untuk membuat sendiri kuih raya ataupun membelinya daripada peniaga tempatan yang banyak tersedia di sana sini.
Misalnya, harga bahan utama dalam pembuatan kuih raya, iaitu mentega yang kini sudah meningkat harganya hampir dua kali ganda daripada harga asal beberapa tahun sebelumnya di samping bahan lainnya seperti Horlicks dan seumpamanya yang biasa digunakan semasa menyediakan kuih raya.
Perkara ini bukan sahaja dirasakan oleh para pengguna dan pelanggan di negara ini sahaja, ia juga dirasakan di negara jiran dan lainnya.
Faktor pertama yang perlu dipertimbangkan untuk membuat keputusan antara membuat atau membeli kuih itu adalah kemahiran dalam membuat kuih raya. Jika pelanggan mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam membuat kuih raya, maka mereka mungkin lebih cenderung untuk membuat kuih raya sendiri. Ini kerana mereka dapat menghasilkan kuih raya yang sesuai dengan cita rasa mereka dan juga menghemat kos.
Namun, jika pelanggan tidak mempunyai kemahiran dalam membuat kuih raya, maka membeli kuih raya daripada penjual yang dipercayai mungkin merupakan pilihan yang lebih baik. Dengan membeli kuih raya, mereka dapat memastikan kualiti kuih raya dan juga mendapat banyak variasi kuih raya yang berbeza.
Faktor kedua yang perlu dipertimbangkan adalah masa yang tersedia untuk membuat kuih raya. Membuat kuih raya memerlukan banyak masa dan usaha. Jika mempunyai banyak masa lapang dan tidak mempunyai sebarang komitmen lain, maka mereka boleh mempertimbangkan untuk membuat kuih raya sendiri. Namun, jika mereka mempunyai masa yang terhad, maka membeli kuih raya mungkin merupakan pilihan yang lebih praktikal.
Kos menjadi faktor yang ketiga di mana membuat kuih raya sendiri boleh menghemat kos, tetapi jika pelanggan tidak mempunyai kemahiran dan peralatan yang diperlukan untuk membuat kuih raya, maka kos untuk membeli peralatan baharu mungkin lebih tinggi daripada membeli kuih raya daripada penjual yang dipercayai. Oleh itu, pelanggan perlu mengambil kira kos yang terlibat sebelum membuat keputusan untuk membuat atau membeli kuih raya.
Secara keseluruhan, keputusan untuk membuat atau membeli kuih raya bergantung pada keperluan dan keutamaan masing-masing. Mereka perlu mempertimbangkan kemahiran, masa dan kos sebelum membuat keputusan.
Selain itu, mereka juga boleh mencuba membuat beberapa jenis kuih raya yang mudah dan membeli jenis kuih raya yang lebih sukar untuk dibuat bagi mendapatkan variasi kuih raya yang lebih baik semasa sambutan Hari Raya.
Salah seorang pengusaha tempatan yang menjual kuih dan biskut raya yang lebih mesra dikenali sebagai Zurai dari Kiyot Fiesta akan menyediakan serta menjual pelbagai produk makanan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri. Beliau menjelaskan bahawa jualan pada tahun ini telah menunjukkan sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggannya.
Menurut pengamatan pengusaha wanita tersebut, setelah berkecimpung dalam penjualan kuih dan biskut raya sejak bertahun-tahun lamanya, para pengguna atau orang Brunei kitani lebih gemar untuk membeli daripada untuk membuat sendiri yang berkemungkinan disebabkan faktor kekangan masa dan komitmen masing-masing.
“Sebanyak lebih 200 balang kuih batang buruk telah berjaya kami jual setakat ini yang dibuat sendiri, begitu juga dengan jumlah kuih siput yang kami edarkan setakat ini.
“Adapun persiapan telah kami sediakan lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal ini di mana sejak dua ke hingga bulan sebelum menjelangnya bulan Ramadan, kami telah mempersiapkan produk jualan kami,” tambah Zurai lagi.
Menyentuh mengenai harga yang dikenakan, Zurai menjelaskan bahawa mereka sentiasa menawarkan produk dengan harga yang berpatutan, berbaloi dan mampu milik bagi para pelanggannya.
Apa tidaknya, jika mereka menaikkan harga barangan sesuka hati, sudah tentunya para pelanggan tidak akan membeli di tempatnya kerana pelanggan sudah semestinya berhak untuk memilih dan membelanjakan wang mereka dengan bijaksana.
Beliau sebagai peniaga sudah semestinya berasa berbesar hati apabila para pelanggan memilih untuk membeli kuih-muih raya di tempatnya sekali gus sebagai tanda sokongan orang ramai di negara ini terhadap peniaga tempatan dan produk jualan makanan tempatan.
Memperuntukkan wang untuk membeli barangan semasa sambutan Hari Raya adalah suatu keperluan. Walau bagaimanapun, kita boleh mengelakkan pembaziran dengan membuat perancangan dan membuat keputusan pembelian yang bijak.
Beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan pembaziran semasa membeli barangan Hari Raya adalah dengan membuat senarai keperluan, menetapkan anggaran perbelanjaan yang munasabah serta membeli barangan dalam kuantiti yang sewajarnya.