KUALA LUMPUR, 30 JUN – Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao mengintai peluang untuk merangkul gelaran juara pertama Kejohanan Badminton Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 9 Julai di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini.
Jun Hao yang meraih naib juara pada edisi 2019 berkata, jika beliau menang edisi 2023, kemenangan itu pastinya meningkatkan tahap keyakinannya untuk beraksi pada kejohanan akan datang termasuk menentang juara dunia 2021, Loh Kean Yew dari Singapura pada pusingan pertama Terbuka Korea dari 18-23 Julai.
“Saya pasti tekanan akan diberikan kepada Kean Yew, namun saya akan memberikan sepenuhnya dan lakukan yang terbaik untuk menentang beliau,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Kedua-dua pemain itu pernah bertemu sekali pada Siri Antarabangsa Singapura 2017 yang menyaksikan Kean Yew menang 21-10, 21-14.
Mengambil kira statusnya sebagai pilihan utama dan ketiadaan pemain utama lain pada pertemuan kebangsaan itu, Jun Hao bagaimanapun akan berhati-hati dengan ancaman daripada pemain lain terutamanya pemain muda pada kejohanan itu.
“Bagi saya junior akan bermain dalam keadaan tiada tekanan, mereka pasti buat yang terbaik dan mendorong kami sehingga penghujungnya.
“Walaupun berlatih sekali, mesti susah juga kerana mereka tahu corak permainan semua, tak boleh pandang ringan, mereka (junior) tidak rugi apa-apa,” katanya. – Benama