YANGON, 22 APRIL – Junta Myanmar hari ini memutuskan untuk melanjutkan gencatan senjata yang diisytiharkan susulan gempa bumi dahsyat bulan lalu sehingga 30 April, selepas gesaan kumpulan bantuan dan perantara antarabangsa agar tempoh itu dilanjutkan bagi memudahkan usaha bantuan.
Junta yang merampas kuasa dalam kudeta pada 2021, mencetuskan perang saudara pelbagai pihak -sebelum ini mengumumkan penghentian serangan terhadap kumpulan bersenjata lawan susulan gempa berkekuatan 7.7 magnitud yang telah meragut lebih 3,700 nyawa.
Bagaimanapun, pemantau konflik dan penduduk di kawasan pertempuran melaporkan pertempuran terus berlaku di kedua-dua pihak sepanjang genjatan senjata 20 hari tersebut, yang bertujuan mempercepat penghantaran bantuan di kawasan tengah Myanmar dan sepatutnya tamat tengah malam ini.
Dalam kenyataan, pasukan maklumat junta berkata gencatan senjata itu dilanjutkan sehingga 30 April bagi memastikan proses pemulihan dan pembinaan semula dapat diteruskan dengan lancar.
Namun tentera memberi amaran bahawa mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas sekiranya diserang oleh kumpulan bersenjata lain – seperti yang dinyatakan ketika pengumuman genjatan senjata sebelum ini.
Gempa bumi pada 28 Mac telah menyebabkan lebih 60,000 orang terpaksa berlindung di perkhemahan sementara, manakala dua juta lagi kini berada dalam keperluan kritikal bantuan dan perlindungan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Meskipun pertempuran masih berlaku, kumpulan kemanusiaan dan kuasa serantau tetap menyeru agar tempoh genjatan senjata dipanjangkan memandangkan usaha bantuan telah memasuki minggu keempat. – AFP
