OTTAWA, 9 MEI – Kerajaan Kanada hari ini mengumumkan pemerolehan lebih 1,000 bas elektrik bagi meningkatkan rangkaian transit awam elektrik di wilayah timur Quebec, lapor Xinhua.
Menurut siaran berita yang dikeluarkan oleh Infrastructure Canada, kerajaan persekutuan dan kerajaan wilayah Quebec akan melabur lebih 780 juta dolar Kanada (AS$585 juta) dan lebih 1.1 bilion dolar Kanada (AS$825 juta) masing-masing untuk membolehkan pembelian 1,229 bas elektrik untuk rangkaian transit awam elektrik Quebec.
Sokongan kewangan yang tidak dapat ditandingi di Kanada membolehkannya melaksanakan projek bas elektrik terbesar di Amerika Utara, kata kenyataan itu.
Pembiayaan itu akan membolehkan 10 organisasi pengangkutan awam di Quebec memulakan penukaran besar-besaran kumpulan bas mereka kepada 100 peratus elektrik.
Pelaburan itu juga memenuhi komitmen kerajaan persekutuan untuk membantu membeli 5,000 bas wasap sifar dalam tempoh lima tahun akan datang, kata kenyataan itu.
Bagi memaksimumkan potensi manfaat ekonomi tempatan, Kanada menetapkan 25 peratus pemasangan akhir perlu dilakukan di Kanada, menurut kenyataan itu.
Bas yang ditempah itu akan diserahkan menjelang 2027.
Menurut Pelan Ekonomi Hijau Quebec, semua kenderaan baharu yang diperoleh oleh agensi transit awam dan menerima subsidi kerajaan mestilah kenderaan elektrik mulai 2025. – Bernama