Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Dalam usaha berterusan membantu meningkatkan bekalan darah di negara ini, Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam hari ini mengadakan kempen derma darah bagi komuniti warga Thailand di Negara Brunei Darussalam dan rakan-rakan tempatan di Jerudong Park Medical Centre (JPMC).
Sebanyak 22 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama JPMC bersempena dengan Hari Memperingati Raja Bhumibol Adulyadej yang disambut pada 13 Oktober lalu.
Hadir semasa kempen tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai yang turut berkesudian menderma darah.
Ketika ditemui, beliau berkata ini merupakan kali pertama Kedutaan Thailand bekerjasama dengan JPMC dan ia merupakan sumbangan kepada Brunei, selain memberi peluang kepada komuniti Thailand melibatkan diri dengan usaha yang mulia ini.
“Ini adalah satu perkara yang boleh kita lakukan untuk membantu antara satu sama lain dan saya melihat dalam liputan berita beberapa hari yang lalu bahawa Pusat Pendermaan Darah memerlukan lebih banyak bekalan darah untuk keperluan pesakit.
“Ia adalah peluang yang baik untuk kita melakukan aktiviti yang murni dalam menyelamatkan nyawa,” jelas Puan Yang Terutama lagi.