MANILA, 2 DIS – Presiden Filipina Ferdinand Marcos hari ini menyifatkan kehadiran sebuah kapal selam serangan Rusia di luar pantai negara itu, di kawasan Laut China Selatan yang dipertikaikan, sebagai ‘amat membimbangkan’.
Menurut kenyataan tentera Filipina, kapal selam UFA 490 itu dikesan pada Khamis lalu, kira-kira 148 kilometer ke barat Cape Calavite.
“Sebarang pencerobohan ke dalam Laut Filipina Barat, Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) kami, atau kawasan asas kami adalah sa-ngat membimbangkan,” kata Marcos kepada pemberita.
Filipina menghantar sebuah pesawat dan kapal perang ke lokasi kapal selam tersebut. Kru kapal selam itu memberitahu bahawa me-reka sedang menunggu cuaca baik sebelum meneruskan perjalanan ke Vladivostok, Rusia, menurut kenyataan Tentera Laut Filipina hari ini.
Jurucakap Tentera Laut Filipina di Laut China Selatan, Roy Vincent Trinidad, menyatakan bahawa insiden itu ‘tidak membimbangkan’.
“Tetapi kami terkejut kerana ini adalah kapal selam yang sangat unik,” katanya kepada AFP.
Menurut agensi berita kerajaan Rusia, TASS, kapal selam sepanjang 74 meter itu dilengkapi sistem peluru berpandu dengan jarak tembakan sejauh 12,000 kilometer. – AFP