Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keistimewaan ikan hiasan Colombia

    INIRIDA – Setiap hari, nelayan tempatan berjumpa dengan Ernesto Rojas untuk menjual ikan kecil berwarna-warni yang ditangkap dari sungai di hutan Colombia yang berakhir di akuarium di seluruh dunia.

    Lelaki yang berusia tujuh puluhan itu telah mendedikasikan setengah abad hidupnya untuk menjalankan perniagaan ikan hiasan di Inirida, ibu negeri wilayah timur Guainia, yang bersempadan dengan Venezuela dan Brazil.

    Ia adalah perniagaan yang berkembang pesat yang dilihat oleh pengkritik sebagai kejam dan terancam kepada alam semula jadi, walaupun pencinta alam sekitar juga menyedari ia membawa faedah, seperti menggalakkan pemuliharaan habitat dan menawarkan alternatif kepada aktiviti yang mendatangkan keburukan seperti pembalakan haram dan perlombongan.

    Rojas menyimpan ikan di dalam kolam yang ditutup dengan jaring untuk melindungi ikan tersebut daripada burung pemangsa sebelum dibawa ke Bogota menggunakan kapal terbang untuk dieksport ke Amerika Syarikat, Asia dan Eropah.

    Dia membeli Altum Angelfish (Pterophyllum altum) – yang hanya terdapat di rantau ini dan dihargai oleh pengumpul kerana siripnya yang panjang dan jalur menegak yang menarik- bersamaan dengan AS$2 setiap satu.

    Ikan hiasan Angelfish dalam tangki ikan sebelum diasingkan untuk dieksport di Bogota. – AFP
    Ikan hiasan kelihatan dalam beg sebelum dibungkus untuk eksport. – AFP
    Gambar AFP
    Ikan panda Uaru berenang dalam tangki ikan di Bogota. – AFP
    Seorang pekerja memeriksa ikan hiasan dalam beg sebelum dieksport di Inirida. – AFP

    Sebaik sahaja tiba di Amerika Syarikat, ikan tersebut boleh dijual dengan harga AS$70 atau lebih.

    “Begitu banyak keindahan yang terkandung dalam tubuh sekecil itu,” kata Rojas sambil meneliti penghantaran seterusnya yang mengandungi ratusan ikan Angelfish.

    Di sekelilingnya ikan berenang dalam bulatan dalam beg plastik.

    Pembantunya memperkayakan air di dalam dengan oksigen daripada silinder sebagai persediaan untuk penerbangan lebih sejam ke ibu negara.

    ISU KELESTARIAN

    Dalam bahasa Orang Asli tempatan, Guainia bermaksud ‘Tanah yang mempunyai banyak perairan.’

    Menurut Pihak Berkuasa Akuakultur dan Perikanan Kebangsaan, rantau ini adalah tempat tinggal kepada 60 peratus daripada 521 spesies ikan yang dibenarkan dijual di Colombia, tempat persidangan biodiversiti terbesar di dunia yang berlangsung minggu ini.

    Kira-kira 526 tan ikan telah dieksport pada 2023, menjana pendapatan kira-kira enam juta dolar, kata pengawal selia.

    Inirida terputus daripada rangkaian jalan raya kebangsaan Colombia dan hanya boleh diakses dengan kapal terbang atau perjalanan panjang menaiki bot.

    Keadaan yang terasing itu menjadikan hasil pendapatan daripada ikan hiasan tonggak utama ekonomi, beritahu Oscar Javier Vargas, pengarah pihak berkuasa alam sekitar tempatan, kepada AFP.

    Sementara perniagaan akuarium yang berkembang pesat di Amerika Selatan membawa pendapatan yang sangat diperlukan untuk beribu-ribu orang, kemapanan menimbulkan isu, menurut Dana Hidupan Liar Dunia (WWF).

    “Bagi ikan hiasan, jumlah eksport yang tinggi menimbulkan kebimbangan bahawa perniagaan itu mungkin tidak mampan untuk populasi ikan. Dan sejarah menunjukkan bahawa eksploitasi berlebihan mungkin menjadi senario yang bakal berlaku,” WWF mengingatkan.

    Namun ‘di bawah keadaan yang betul, perikanan hiasan yang mampan boleh meningkatkan pemuliharaan hutan dan mengurangkan kemiskinan masyarakat tempatan,” kata WWF.

    Dalam usaha melindungi populasi ikan, pihak berkuasa mengharamkan penangkapan ikan di Guainia selama tujuh minggu setahun, biasanya antara awal April dan Jun.

    Bagi sesetengah spesies seperti Angelfish, larangan itu bermula beberapa minggu lebih awal.

    “Ia adalah perniagaan terkawal dengan amalan yang amat mampan,” kata Vargas.

    Negeri itu juga memastikan bahawa spesies ikan yang dianggap mudah terjejas, seperti piranha dan ikan siakap merak yang besar dan berwarna-warni, tidak dipancing dari perairan gelap yang kaya dengan mineral di Sungai Inirida dan anak sungainya.

    “Melihat haiwan kehilangan kebebasannya demi keseronokan dan kesenangan seseorang” merupakan satu penghinaan kepada aktivis hak haiwan, akui Vargas.

    Bagaimanapun, menangkap ikan menggunakan pukat kecil merupakan sumber pendapatan berimpak rendah di wilayah di mana perlombongan emas haram yang berleluasa bermakna sejumlah besar merkuri dibuang ke dalam sungai setiap tahun, katanya.

    Mengharamkan penangkapan ikan hiasan ‘akan membawa lebih banyak keburukan’ kepada alam sekitar, kata Vargas. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda