INDIVIDU yang cacat penglihatan atau buta biasanya boleh menjalani kehidupan yang sama seperti manusia normal lain.
Begitu pun, tiada siapa pernah terfikir bahawa individu buta juga boleh bermain sukan papan luncur.
Marcelo Lusardi, 20, yang berambut panjang mula menjadi sebutan dunia selepas menunjukkan kebolehan luar biasa dalam sukan papan luncur buta.
Digelar The Blind Rider, jejaka yang berasal dari Santiago de Compostela, Sepanyol itu berkata, dia menjadi buta dua tahun lalu akibat penyakit Leber hereditary optic neuropathy (LHON).
Ia merupakan satu penyakit genetik yang berlaku disebabkan oleh kecacatan mutasi pada mitokondria asid deoksiribonukleik (DNA).
“Pada mulanya, ia hanya menyerang mata kanan saya. Saya tidak dapat melihat dengan jelas, seolah-olah ada satu kekotoran yang telah melekat pada bebola mata,” tuturnya.
Tidak lama selepas itu, dia hilang penglihatan pada mata kanannya. Jejaka itu mengakui cukup terkesan dengan dan menjadi bertambah sedih apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa mata kirinya turut dijangkiti penyakit sama, menjadikan dia buta sepenuhnya.
“Saya tidak pernah membayangkan hidup saya akan jadi begini. Saya menjadi buta pada usia yang sangat muda. Hari-hari yang dilalui terasa sukar dan saya menjadi amat tertekan,” ujarnya.
Murung
Lusardi kemudian didekati oleh rakan lama bapanya yang sering memberikan kata-kata semangat untuk terus mengharungi hidup.
Wanita tersebut yang tidak didedahkan identitinya memujuk Lusardi untuk menghabiskan masa di luar bagi mengelakkan dia daripada terus murung.
Menurut Lusardi, dia cukup sukakan sukan papan luncur dan sering menghabiskan masa di sebuah taman papan luncur bersama rakan-rakan sebelum dia hilang penglihatan.
Begitu pun, dia tidak pernah terfikir akan kembali bermain papan luncur memandangkan dia sudah tidak lagi boleh melihat.
“Namun, selepas berjumpa semula dengan rakan-rakan lama, mereka masih lagi menganggap saya sebagai salah seorang daripada mereka.
“Mereka juga berterus-terusan memujuk saya untuk kembali bermain sukan papan luncur dan tidak lokek untuk memberikan bantuan,” jelasnya.
Lusardi yang terharu dengan sokongan rakan-rakan menyahut cabaran tersebut, namun kali ini dia terpaksa menggunakan tongkat yang seolah-olah membantunya ‘melihat’.
“Bermain sukan papan luncur tanpa dapat melihat memberikan saya satu pengalaman yang cukup berbeza,” ujarnya.
Kongsi anak muda itu lagi, sukan tersebut memerlukannya untuk berdiri pada kedudukan yang betul dan membiasakan diri dengan persekitaran sebelum melakukan aksi-aksi menarik.
Memandangkan Lusardi sudah kehilangan deria penglihatan, dia mendapati cabaran terbesarnya adalah untuk meletakkan tubuh pada posisi yang betul di atas papan luncur.
Jelas Lusardi, dia perlu peka dengan pergerakan peluncur-peluncur lain sebelum beraksi.
“Bunyi yang dihasilkan oleh mereka membantu saya untuk mengawal pergerakan di atas papan luncur serta mengimbangi badan saya.
“Selain itu, tongkat putih yang digunakan juga membantu saya untuk tidak tersasar jauh daripada landasan,” ujarnya.
Bantuan deria lain
Selepas kehilangan kedua-dua matanya, Lusardi perlu menggunakan deria-deria lain bagi membantu dia melihat.
Tambah jejaka itu lagi, menjadi buta telah menyedarkannya tentang erti sebuah kehidupan.
“Kadang kala, saya rasa menjadi buta benar-benar mengajar saya tentang apa yang saya mahu lakukan dalam hidup. Dahulu, saya bermain sukan papan luncur dan saya diuji apabila menjadi buta.
“Namun, saya masih lagi mampu untuk melakukan sukan papan luncur kerana inilah takdir saya. Ia memang sukar, namun saya masih mampu melakukannya,” jelas Lusardi.
Biarpun sudah mula membiasakan diri dan menerima hakikat bahawa dirinya kini sudah hilang daya penglihatan, Lusardi masih terus berharap agar satu hari nanti, seseorang akan menemui penawar bagi penyakit LHON dan membantunya untuk melihat semula.
Lusardi yang buta malah masih mampu menyertai sukan papan luncur, terkenal dengan jolokan ‘The Blind Rider’.
Kecekalan hati Lusardi ini wajar menjadi satu pembakar semangat bagi setiap individu bahawa walaupun kita mempunyai kekurangan namun ia tidak harus dijadikan sebagai penghalang untuk mengecapi kejayaan. – Agensi