Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem. Pembangunan sambut Ilal Hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) kelmarin telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 dan Doa Selamat bagi meraikan 37 orang jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah kembali ke tanah air baru-baru ini.

    Majlis yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Kemajuan dan Jabatan Saliran dan Pembetungan itu berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pemangku Jurutera, Jabatan Saliran dan Pembetungan, JKR, Awang Abdul Mu’izz bin Junaidi, dan bacaan Al-Quran Surah Al- Baqarah ayat 216-218 serta terjemahannya oleh qari jemputan, Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, iaitu johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asia Tenggara 2017 dan naib johan Musabaqah Membaca Al-Quran Dewasa 2019, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili.

    Seterusnya, ceramah khas sempena sambutan Ilal Hijrah 1446 bertajuk Hijrah Ini Sebenarnya Untuk Siapa telah disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohd Nasyith bin Superi.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abd Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda hadir bersama tetamu lain pada majlis yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda