Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kempen kebersihan di 13 tempat ibadat di Daerah Temburong

    Oleh Sim Y. H. –

    TEMBURONG, 1 MAC – Sebagai usaha menyokong inisiatif Jawatankuasa Induk Isu-isu Kebersihan (JIIK) dalam memastikan Negara Brunei Darussalam bersih dan bebas daripada pencemaran, Kementerian Pertahanan telah menganjurkan kempen kebersihan di Daerah Temburong, hari ini.

    Usaha pembersihan semasa kempen berkenaan tertumpu kepada 13 buah tempat ibadah, antaranya lapan buah masjid, dua buah surau, dua buah balai ibadat dan sebuah pos dakwah.

    Ini terdiri daripada Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar; Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, Masjid Pengiran Haji Abu Bakar Kampung Bokok, Masjid Kampung Selangan, Masjid Kampung Batu Apoi, Masjid Kampung Puni, Masjid Kampung Belais, Masjid Kampung Labu Estate, Surau Kampung Piasau-Piasau; Surau Al-Quwwah, Bangar Kem; Balai Ibadat Kampung Semabat, Balai Ibadat Kampung Sibut dan Pos Dakwah Kampung Selapon.

    Kempen berkenaan dilancarkan dan disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, bermula di Masjid Utama Mohammad
    Salleh sebelum melanjutkan ke lokasi-lokasi lain.

    Turut serta ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin serta seluruh peringkat kepimpinan, dan warga Kementerian Pertahanan.

    Kempen itu bermula dengan Halaqah Jumaat yang diadakan serentak di semua masjid, surau, balai ibadat, dan pos dakwah, yang diisikan dengan tazkirah bertajuk Kebersihan Adalah Tuntutan. Ia disusuli dengan taklimat keselamatan dan sesi pemanasan badan sebelum memulakan kempen kebersihan.

    Turut menyertai kempen kebersihan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Temburong, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed, Pegawai Masjid Daerah Temburong, wakil dari Urus Setia JIIK, Kementerian Pembangunan serta penghulu dan ketua kampung, ahli jawatankuasa takmir masjid dan penduduk kampung setempat.

    Antara aktiviti kempen termasuk membersihkan longkang, membersihkan lumut, menyapu daun-daun kering, menghapuskan belukar pada pagar dan pemotongan rumput.

    Kempen yang disertai oleh kira-kira 300 orang warga Kementerian Pertahanan itu telah mengumpulkan lebih daripada 2,751 kilogram sampah-sarap.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyertai kempen kebersihan di Masjid Utama Mohammad Salleh. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Kempen kebersihan yang diadakan di Masjid RPN Kampung Rataie. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda