Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama tiga pihak persiap usahawan Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Dewan Peniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Antarabangsa DEPA (DEPA IC) dan Pusat Kolaborasi dan Inovasi APAC (AICC), Singapura yang berlangsung di Anggerek Desa, kelmarin.

    Penandatanganan berkenaan disaksikan oleh pemimpin perniagaan dan kerajaan, rakan kongsi ekosistem serta ahli-ahli NCCIBD termasuk ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee serta pegawai-pegawai dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB).

    Pada majlis itu, menandatangani MoU bagi pihak NCCIBD ialah Timbalan Presiden NCCIBD, Rahman Sirat serta bagi pihak DEPA IC dan AICC ialah Timbalan Pengerusi, Alice Chan serta Pengasas Bersama dan Penasihat Kanan, Goh Teck Him.

    Penandatanganan tiga pihak berkenaan menandakan sebuah kolaborasi penting di mana NCCIBD akan memanfaatkan sumber dan rangkaian antarabangsa oleh DEPA IC dan AICC serta membantu syarikat-syarikat Brunei menerusi pengantarabangsaan, inovasi serta transformasi menerusi pendigitalan.

    MoU itu juga membolehkan ketiga-tiga pihak untuk memanfaatkan peluang-peluang perniagaan yang tidak terhad atau kemungkinan digital rentas sempadan yang dijana oleh DEPA dan negara-negara ahlinya.

    Goh Teck Him, Rahman Sirat dan Alice Chan, selepas menandatangani MoU semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Kesemua pihak juga menggembleng pengalaman mereka untuk meningkatkan jangkauan antarabangsa dan pendedahan melalui penyelaman pasaran, pemadanan perniagaan, bengkel pendigitalan, perbincangan meja bulat, persidangan luar negara dan bimbingan.

    Ketiga-tiga pihak juga akan bekerjasama dalam keusahawanan global untuk mempersiapkan usahawan Brunei untuk memandang ke pasaran antarabangsa sambil berinovasi.

    DEPA IC dan AICC juga akan membawa rangkaian luar negara yang akan mempercepatkan syarikat pemula dan meningkatkan pemindahan ilmu pengetahuan serta teknologi menerusi pengkomersialan.

    Kesemua pihak juga memandang kepada kemungkinan peluang-peluang kemapanan dan hijau yang dibolehkan oleh teknologi digital bagi syarikat-syarikat Brunei.

    Penandatanganan itu juga menandakan bermulanya kolaborasi strategik antara NCCIBD, DEPA IC dan AICC di mana bersama-sama, mereka membina sebuah pintu masuk antarabangsa yang baru bagi syarikat-syarikat Brunei bagi merebut peluang perniagaan hijau dan digital baru dalam Asia Pasifik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda