Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketegangan baru antara Rumah Putih, PM Israel

    WASHINGTON, 21 JUN – Ketegangan baharu muncul minggu ini antara pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung kritikan perdana menteri Israel terhadap penghantaran senjata AS – komen yang disifatkan oleh Rumah Putih, kelmarin, sebagai ‘menjengkelkan’ dan ‘mengecewakan’.

    Isu itu bermula apabila Netanyahu mendakwa dalam video yang disiarkan di media sosial awal minggu ini bahawa pentadbiran AS – penyokong utama tentera Israel – telah ‘menahan senjata dan peluru’ dari negaranya sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

    “Komen itu amat mengecewakan dan pastinya menjengkelkan kami, memandangkan jumlah sokongan yang kami ada dan akan terus berikan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby kepada wartawan.

    “Tiada negara lain yang melakukan lebih banyak untuk membantu Israel mempertahankan dirinya daripada ancaman Hamas dan, secara terus terang, ancaman lain yang mereka hadapi di rantau itu,” kata Kirby.

    Sehari sebelumnya, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan bahawa “kami benar-benar tidak tahu apa yang dia cakapkan.”

    Dengan pengecualian “satu penghantaran senjata api tertentu,” Jean-Pierre berkata “tidak ada jeda lain. Tiada.”

    Dia merujuk kepada penghantaran bom 2,000 paun yang menurut Washington sedang dalam semakan kerana kebimbangan mengenai penggunaannya di kawasan padat penduduk. – AFP

    Penasihat Komunikasi Keselamatan Negara Rumah Putih AS, John Kirby. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda