Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ketepatan diagnosis kunci keselamatan pesakit

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Ketepatan dan kecepatan diagnosis adalah asas penting dalam memastikan keselamatan pesakit serta keberkesanan rawatan, demikian ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dalam perutusan sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2024 yang disambut pada setiap 17 September.

    Menurut beliau, diagnosis yang tepat bukan sahaja penting untuk mencapai matlamat rawatan yang berkesan, malah merupakan satu keperluan bagi sistem penjagaan kesihatan berkualiti. Kesilapan dalam diagnosis, tambahnya, boleh menyebabkan penderitaan berpanjangan, malah berisiko mengancam nyawa pesakit.

    Dengan tema Menambahbaik Diagnosis Untuk Keselamatan Pesakit, Hari Keselamatan Pesakit Sedunia tahun itu memberi tumpuan kepada kepentingan dan ketepatan diagnosis dalam penjagaan kesihatan bagi melindungi keselamatan pesakit. Negara-negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyambut hari ini sebagai komitmen global terhadap keselamatan pesakit.

    Dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak untuk memahami bahawa diagnosis yang tepat adalah langkah pertama dalam mencegah dan merawat penyakit.

    Beliau turut menyampaikan empat mesej utama: pertama, diagnosis yang betul dan tepat adalah asas kepada pencegahan dan rawatan penyakit; kedua, memahami proses diagnostik dapat mengurangkan kelewatan diagnosis; ketiga, pelbagai strategi penyelesaian diperlukan bagi menangani kesilapan dalam diagnosis; dan keempat, kejayaan dalam diagnosis memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak.

    Dalam usaha memperbaiki sistem penjagaan kesihatan di Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan terus memanfaatkan teknologi melalui penggunaan aplikasi BruHealth. Teknologi kecerdasan buatan (AI) turut diguna pakai untuk menyepadukan data dari peralatan diagnostik, bertujuan meningkatkan ketepatan diagnosis.

    Ciri-ciri tambahan seperti Health Index dan National Health Screening Programme dalam BruHealth juga membantu masyarakat meningkatkan kesedaran terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi.

    Yang Berhormat Dato turut menyeru orang ramai agar memanfaatkan ciri-ciri aplikasi BruHealth bagi memantau kesihatan mereka secara proaktif, selain menyokong usaha kerajaan dalam mempertingkatkan budaya hidup sihat.

    Beliau juga menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan komited dalam menerapkan budaya keselamatan pesakit melalui pentadbiran kesihatan yang efisien, di mana persekitaran kerja yang mengutamakan keselamatan pesakit serta ketelusan adalah kunci kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi.

    Seorang pegawai kesihatan semasa menjalankan sesi konsultasi dengan pesakit. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda