Tuesday, February 11, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU, Kementerian Pertahanan ungkayah bersama Malam Munajat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Warga Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama keluarga dan jemaah dari 85 buah masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara telah menyertai Program Malam Munajat bagi minggu ke-48 yang diadakan secara maya, kelmarin.

    Kali ini, Malam Munajat anjuran KHEU itu diungkayahkan dengan kerjasama Ke-menterian Pertahanan dengan penyertaan daripada 11 buah surau dan masjid di bawah kawalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Bersama menyerikan Malam Munajat itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KHEU.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Setiausaha Tetap (Pembangunan, Pemeliharaan dan Teknologi), Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Haji Mohd Norfahssin bin Haji Abdul Karim.

    Acara diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Pemangku Timbalan Ra’es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dari Masjid Kampung Bang Dalam, Daerah Tutong, Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.

    Kemudian Doa Munajat dibacakan oleh Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar, bersama para pegawai dari mahkamah-mahkamah Syariah.

    Ia turut diselitkan dengan tazkirah bertajuk ‘Konsep Negara Aman di dalam Al-Quran Satu Iktibar’ yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Ugama, Kementerian Pertahanan, Pengiran Ahmad Hasanuddin bin Pengiran Haji Tejudin.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama warga Kementerian Pertahanan dan jemaah lain ketika menyerikan Malam Munajat.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda