Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS terima kunjungan ahli MMN

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) kelmarin menerima rombongan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi sesi dialog dan lawatan kerja bersama dua buah jabatan di bawah kementerian berkenaan, iaitu Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Jabatan Belia dan Sukan.
     
    Pada sebelah pagi, sesi dialog dan lawatan kerja bersama JAPEM yang diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS itu bermula dengan lawatan dan penerangan dari beberapa bahagian di jabatan berkenaan iaitu Bahagian Bantuan Kebajikan Am; Pusat Panggilan dan Bahagian Warga Emas dan Pencen-pencen.
     
    Seterusnya, selesai lawatan, sesi dialog antara ahli MMN dan JAPEM dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan. 
     
    Majlis disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah, JAPEM, Dayang Siti Zaharah binti Haji Abdul Razak, yang menekankan kepentingan rangkaian strategik serta platform yang telah dibina dan dibangunkan bersama agensi-agensi kerajaan atau bukan kerajaan dalam menggalas tanggungjawab besar jabatan berkenaan dalam memeduli kesejahteraan dan membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan.
     
    Sementara itu, sesi dialog bersama Jabatan Belia dan Sukan pada sebelah petang yang diadakan di Dewan Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu dimulakan dengan lawatan dan penerangan beberapa bahagian iaitu Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sains Sukan, Hab Belia dan Galeri Sukan.
     
    Gambar ramai peserta yang hadir pada sesi dialog dan lawatan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Antara yang hadir pada sesi dialog tersebut. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Seterusnya, selesai lawatan, sesi dialog antara ahli  MMN dan Jabatan Belia dan Sukan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat.
     
    Dalam ucapan alu-aluan daripada Pengarah Belia dan Sukan, Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, beliau menyentuh mengenai usaha-usaha dan pencapaian sektor kesukanan.
     
    Beliau berkata melalui sesi dialog seumpama itu juga, nasihat, teguran dan pandangan yang berharga daripada ahli-ahli MMN boleh menjadi panduan untuk memperbaiki dan memperkukuhkan lagi program-program yang berimpak positif dan tinggi bagi mencapai matlamat dan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. 
     
    Sesi dialog diteruskan dengan sesi perbincangan dan soal jawab.
     
    Acara tersebut sudah tentunya  menjadi wadah pendekatan dan perkongsian fikiran yang bermanfaat kepada KKBS dalam menambah mutu perkhidmatan bagi sektor-sektor utama di bawah kementerian itu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda