Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Majlis Perasmian Akademi Dakwah 4.0 bertemakan ‘Da’ie Berimpak, Membangun Masyarakat’ telah diungkayahkan oleh Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan kerjasama Urusetia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Dewan Persidangan, PDI, kelmarin.
Seramai 44 orang peserta terdiri daripada 22 orang Muslimin dan 22 orang Muslimah dalam kalangan belia daripada pelbagai bidang pengajian dan profesional telah menyertai Akademi Dakwah 4.0 itu diungkayahkan dalam dua kali sebulan pada Sabtu dan Ahad.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Menurut Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim, dakwah ialah usaha menyeru, mengajak manusia ke ajaran Allah SWT. Dakwah adalah tanggungjawab dan kewajipan bagi setiap Muslim yang mukalaf berdasarkan kemampuan masing-masing.
Beliau berkata, dalam konteks cara untuk menyampaikan dakwah pula, Allah SWT membekalkan kaedah atau metode asas bagi menjayakan aktiviti pendakwahan itu.
Bagaimanapun, bagi memastikan penyampaian dakwah melalui metode berkenaan itu berjaya dan berkesan, setentunya ia memerlukan pembangunan kepimpinan da’ie berwibawa.
“Pembangunan kepimpinan da’ie berwibawa terutama generasi belia adalah penting bagi memperkasa agenda dakwah di negara ini. usaha-usaha ke arah ini perlu dilaksanakan melalui perancangan strategik pembangunan kepimpinan dakwah jangka panjang yang lestari sifatnya,” katanya. Beliau juga menyentuh mengenai cabaran berdakwah, di mana usaha berkenaan pasti mencabar seiring dengan perkembangan semasa yang memerlukan kita tidak boleh ketinggalan mempersiapkan pengurusan dakwah yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan ummah.
Beliau turut mengetengahkan aspek-aspek yang berperanan merealisasikan dakwah secara berkesan adalah memantapkan akidah, penguasaan pelbagai ilmu dan membiasakan diri dengan disiplin membaca, kemahiran sebagai nilai tambah seperti penguasaan dari sudut psikologi, komunikasi, ICT dan kemahiran hidup dan banyak lagi.
Beliau berharap program ini akan menjadi pemangkin untuk para peserta menebarkan lagi benih-benih kebaikan untuk masyarakat dan membantu para peserta melalui silibus-silibus yang ditetapkan seperti teori mahupun praktikal untuk mengetahui tentang metode berdakwah yang sesuai dengan ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama juga berharap semoga objektif program berkenaan akan tercapai di samping dapat membentuk motivasi tinggi kepada para peserta dalam memahami konteks cabaran berdakwah masa kini.