Media sosial tidak pernah menjadi medium buat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan perasaan tentang masalah berkaitan rumah tangga atau peribadi.
Sebaliknya kata Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, dia dan suami iaitu Datuk Seri Khalid Jiwa lebih selesa menggunakan WhatsApp bagi menyelesaikan sebarang masalah yang berlaku.
“Selepas memadam hantaran tersebut, suami pun ada tanya apa yang berlaku. Dia tanya apa yang saya post di Instagram.
“Sebenarnya tiada apa pun, warganet suka memanjangkan dan buat spekulasi sendiri.
“Kalau saya nak teruskan ‘jiwa lara’ itu saya akan biarkan sahaja hantaran tersebut.
“Biasanya kalau marah atau ada salah faham, saya akan selesaikan dengan suami melalui WhatsApp,” katanya kepada mStar.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan anjuran Yayasan Nurjiwa yang diadakan di Bamboo Hills Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Siti menjelaskan perkongsian mengenai peranan suami dan isteri yang dibuat tidak lebih sekadar ilmu secara umum buat semua pengikutnya di Instagram.
Malah katanya, menjadi kebiasaan dia berkongsi ilmu dalam pelbagai perkara dan tidak menyangka hantaran mengenai rumah tangga pula mendapat perhatian ramai.
“Kadang-kadang pada hari Jumaat memang saya kongsi tentang perkara berkaitan rezeki, adab tetapi bila muat naik tentang rumah tangga tiba-tiba orang mengaitkannya dengan saya.
“Disebabkan itu saya cepat-cepat padam hantaran tersebut kerana ramai salah sangka.
“Apa yang dikongsi itu hanya sekadar ilmu tentang peranan suami dan isteri. Tak sangka pula tular,” jelasnya. – Agensi