Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Konsep pandu lalu di stadium 1 mei ini

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka dalam bulan Ramadan ini, satu konsep perniagaan telah diperkenalkan yang berasaskan tempahan awal (pre-order) dan pick-up secara pandu lalu (drive thru) yang akan bermula 1 Mei depan.

    Konsep itu diperkenalkan berikutan peniadaan gerai-gerai Ramadan di bawah kawalan Jabatan Daerah, Jabatan Bandaran dan Jabatan Belia dan Sukan tahun ini, jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Kementerian Kesihatan hari ini.

    Yang Berhormat Pehin menjelaskan, konsep perniagaan berasaskan tempah dan ambil secara pandu lalu itu diperkenalkan setelah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) berbincang dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan, bagi memudahkan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa di sepanjang bulan Ramadan.

    Menurut beliau, lokasi bagi perniagaan berkenaan akan diadakan di beberapa tempat di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah dan ia hanya dibukakan kepada peniaga yang menggunakan trak makanan.

    “Mana-mana pihak yang berminat untuk menjalankan perniagaan secara pandu lalu, boleh menghubungi Jabatan Belia dan Sukan, KKBS bagi mendapatkan maklumat lanjut,” ujar beliau.

    Manakala itu, bagi peniaga yang berniaga di premis perniagaan di bawah kawalan Jabatan Daerah dan Jabatan Bandaran yang juga berhasrat untuk menyertai kaedah perniagaan secara pandu lalu di premis perniagaan mereka hendaklah memohon melalui Jabatan Daerah dan Jabatan Bandaran.

    Yang Berhormat Pehin pada sidang media itu turut menegaskan, penilaian akan dibuat berasakan kepada beberapa perkara termasuk aspek keselamatan.

    “Tarikh perlaksanaan bagi perniagaan kaedah pandu lalu ini di kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah akan bermula pada 1 Mei 2020,” tambahnya.

    Peniaga yang menggunakan trak makanan berasaskan tempah dan ambil secara pandu lalu bakal diperkenalkan oleh KHEDN dan KKBS di sepanjang bulan Ramadan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda