Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S, AS, Jepun lancar sekretariat tiga pihak

    SEOUL, 21 NOV – Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun secara rasmi melancarkan sekretariat untuk kerjasama tiga pihak kelmarin, selepas pengumumannya dibuat di sidang kemuncak pemimpin mereka minggu lepas, menurut Kementerian Luar Korea Selatan.

    Menurut agensi berita Yonhap, Sekretariat Tiga Pihak itu ditubuhkan beberapa hari selepas pemimpin ketiga-tiga negara mengumumkan rancangan berkenaan semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru pada Jumaat lepas.

    Penubuhan sekretariat ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai antara Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol; Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida semasa Sidang Kemuncak Camp David pada Ogos tahun lepas.

    Pelancaran ini dilihat sebagai langkah konkrit untuk melaksanakan komitmen yang dikongsi oleh ketiga-tiga negara, termasuk meningkatkan penyelarasan tiga pihak bagi menangani cabaran bersama seperti ancaman ketenteraan Korea Utara.

    Mesyuarat pertama sekretariat itu telah diadakan di Seoul, dan setiap negara akan bergilir-gilir memegang jawatan setiausaha agung serta menguruskan sekretariat setiap dua tahun, bermula dengan Korea Selatan, diikuti oleh AS dan Jepun, menurut kenyataan kementerian luar itu.

    Dalam mesyuarat itu, ketiga-tiga negara, “menilai kemajuan kerjasama tiga pihak sejak Sidang Kemuncak Camp David dan membincangkan struktur serta rancangan operasi sekretariat itu.”

    Kementerian itu turut berkata Korea Selatan, AS, dan Jepun akan bekerjasama dalam pelbagai projek meliputi bidang seperti keselamatan, ekonomi, teknologi canggih, dan pertukaran antara rakyat.

    Inisiatif ini bertujuan untuk menginstitusikan serta memupuk perkembangan berterusan kerjasama tiga pihak. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda