Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kru NASA muncul selepas setahun di ‘Marikh’

    WASHINGTON, 7 JULAI – Kru misi NASA ke Marikh keluar dari kapal mereka selepas pelayaran selama setahun yang tidak pernah meninggalkan Bumi.

    Empat anggota kru sukarelawan berkenaan yang menghabiskan lebih daripada 12 bulan dalam persekitaran simulasi Marikh pertama NASA di Pusat Angkasa Johnson di
    Houston, keluar dari persekitaran planet merah buatan itu sekitar 5 petang kelmarin.

    Kelly Haston, Anca Selariu, Ross Brockwell dan Nathan Jones memasuki habitat bercetak 3D itu pada 25 Jun 2023, sebagai kru sulung projek Analog Penerokaan Kesihatan dan Prestasi Krew agensi angkasa itu.

    Haston, komander misi, bermula dengan ayat ringkas, “Hello.”

    “Sangat mengagumkan untuk dapat mengucapkan ‘hello’ kepada awda semua,” katanya.
    Jones, seorang doktor dan pegawai perubatan misi, berkata 378 hari mereka dalam kurungan “berlalu dengan cepat.”

    Mereka tinggal dan bekerja dalam ruang seluas 1,579 meter persegi untuk mensimulasikan misi ke planet merah itu, yang keempat dari matahari dan tumpuan perbincangan yang kerap dalam kalangan saintis dan peminat sci-fi mengenai kemungkinan penerokaan manusia di luar bulan kita.

    Kru pertama CHAPEA itu menumpukan pada mewujudkan keadaan yang mungkin untuk operasi Marikh pada masa hadapan melalui simulasi perjalanan angkasa, digelar ‘Marswalks,’ serta menanam dan menuai sayur-sayuran untuk menambah bekalan mereka dan mengekalkan habitat serta peralatan mereka.

    Mereka juga berusaha melalui cabaran yang dijangkakan oleh kru Marikh sebenar termasuk sumber-sumber terhad, pengasingan dan kelambatan dalam komunikasi sehingga 22 minit dengan planet asal di seberang dinding habitat, kata NASA.

    Dua misi CHAPEA tambahan sedang dirancang dan kru akan terus menjalankan simulasi perjalanan angkasa dan mengumpul data mengenai faktor-faktor yang berkaitan dengan kesihatan dan prestasi fizikal dan tingkah laku, kata NASA. – AP

    Imej daripada video yang disediakan oleh NASA ini menunjukkan ahli kru misi CHAPEA pertama, Kelly Haston (tengah) berjabat tangan dengan Timbalan Pengarah Misi Penerbangan NASA, Kjell Lindgren (dua kanan) ketika kru lain muncul dari pesawat mereka pada 6 Julai di di Johnson Space Center di Houston, Texas. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda