Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan suai kenal ejen pelancongan HK

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama pihak berkepentingan utama pelancongan termasuk syarikat penerbangan kebangsaan, RB, ejen-ejen pelancongan dan penginapan telah mengadakan lawatan suai kenal bagi sembilan ejen pelancongan dari Hong Kong (HK), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKP, di sini, menyatakan usaha bersama itu, mengetengahkan kepelbagaian budaya, alam semula jadi dan tarikan penuh pengembaraan.

    Semasa lawatan selama empat hari ke Brunei, ejen-ejen berkenaan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang mengetengahkan kekayaan warisan budaya dan keindahan pemandangan aalm semula jadi negara. Antara yang menarik perhatian mereka adalah Lawatan Warisan dan Kebudayaan Tutong, yang menawarkan penerokaan mendalam tradisi tempartan serta pelayaran sungai hidupan liar dan kelip-kelip.

    Kumpulan ejen pelancongan berkenaan juga mengambil bahagian dalam Lawatan Ladang Organik di mana mereka terlibat dalam aktiviti pertanian organik secara langsung dan memetik buah-buahan bermusim.

    Kumpulan itu turut mengendalikan pemeriksaan ke atas beberapa buah hotel untuk menilai kualiti dan kesesuaian bagi klien mereka. Selain itu, mereka juga berpeluang bermain golf di Padang Golf Empire yang telah diperbaharui, menambahkan lagi pengalaman indah dan keseronokan kepada jadual lawatan mereka.

    GAMBAR SERAHAN JKP
    Ejen-ejen pelancongan Hong Kong berpeluang untuk menyaksikan dan mengenali dengan lebih dekat tarikan Brunei semasa lawatan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JKP

    Maklum balas daripada ejen-ejen pelancongan tersebut adalah positif dengan ejen-ejen berkenaan memuji kehidupan liar Brunei yang mantap dan landskap yang indah seperti Luagan Lalak yang tenang. Lawatan itu diakhiri dengan sesi rangakaian dengan JKP di mana ejen-ejen berkenaan berkongsi maklum balas yang berharga dan membincangkan mengenai peluang-peluang kolaborasi pada masa akan datang.

    Sesi tersebut meletakkan asas yang kukuh bagi kerjasama dan pandangan yang lebih kukuh bagi inisiatif-inisiatif promosi akan datang.

    Selepas menamatkan lawatan mereka di Brunei, ejen-ejen berkenaan berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah untuk meneruskan lawatan suai kenal mereka.

    Konsep dwi-destinasi itu telah menyaksikan peningkatan minat dalam kalangan pelancong-pelancong antarabangsa termasuk dari Hong Kong, di mana mereka ingin untuk mencari pengalaman pelancongan yang pelbagai dan banyak di Borneo. Beberapa orang ejen juga menyatakan bahawa negara ini sudah diketengahkan dalam portfolio pelancongan mereka dengan rancangan untuk mempromosikan negara sebagai destinasi transit atau persinggahan lanjutan.

    Ejen-ejen pelancongan yang baharu merakamkan minat mereka dalam meletakkan Brunei sebagai destinasi utama dan juga sebagai persinggahan sebelum berkunjung ke lokasi utama termasuk Dubai.

    Lawatan suai kenal itu mengetengahkan dedikasi JKP kepada meningkatkan keberadaan Brunei dalam pasaran utama dan mengukuhkan lagi reputasinya sebagai destinasi pelancongan yang tersendiri dan memuaskan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda