Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Lebih 300 orang telah menyertai Larian Semarak Hari Kebangsaan anjuran Limin Cardio Fitness (LCF) dengan kerjasama Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF) dan juga Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Tempat pertama pertandingan bagi kategori Terbuka Lelaki 6km dimenangi oleh Sefli Ahar yang membawa pulang hadiah wang tunai $300.
Tempat kedua disandang oleh Muhammad Haziq Syazwan bin Hwrmanti dan menerima hadiah wang tunai $200. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Ruzaini Mahadi yang membawa pulang wang tunai sebanyak $100.
Sementara johan pertandingan Wanita Terbuka 6km disandang oleh Tho Siaw Kim yang membawa pulang hadiah wang tunai $300. Tempat kedua dimenangi oleh Alea Abdullah yang membawa pulang hadiah wang tunai $200. Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Husna binti Abdullah yang membawa pulang hadiah wang tunai $100.
Acara yang disertai oleh para belia itu dihasrat bagi menyokong amalan cara hidup sihat menerusi kegiatan sukan dan riadah dengan semangat perpaduan serta cintakan negara.
Larian bermula dan berakhir di Kompleks Sukan Tutong.
Acara larian tersebut dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, kemudian diikuti dengan sesi pemanasan badan dan seterusnya acara pelepasan dimulakan bagi kategori Lelaki Terbuka 6km dan kategori Wanita Terbuka 6km serta kategori Fun Run sejauh 3km.
Larian Semarak Hari Kebangsaan tersebut adalah salah satu pengisian sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan kali ke-39 dengan melibatkan semua lapisan masyarakat.