Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Singapura dihukum penjara aniaya isteri dengan meletakkan dadah dalam kereta

    SINGAPURA, 30 OGOS – Seorang lelaki warga Singapura telah dijatuhi hukuman penjara hampir empat tahun selepas cuba menganiaya isterinya yang telah berpisah dengannya dengan meletakkan ganja di dalam keretanya, mengetahui dia boleh dikenakan hukuman mati.

    Tan Xianglong, 37, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 10 bulan di mahkamah daerah kelmarin, menurut dokumen mahkamah.

    Pasangan itu telah berpisah kurang daripada dua tahun, selepas memohon cerai tetapi gagal mendapatkannya serta-merta kerana tempoh perkahwinan mereka yang singkat, menurut dokumen itu.

    Tan telah marah dengan isterinya kerana dia menganggap isterinya tidak memberikan sumbangan kewangan yang mencukupi dalam perkahwinan berkenaan.

    Dia berunding dengan peguam dan ‘mengemukakann idea bahawa perceraian boleh berlaku jika salah satu pihak mempunyai rekod jenayah,’ kata dokumen itu.

    Gambar Freepik

    Dia pada mulanya mengupah penyiasat persendirian untuk mengumpul bukti dia berzina, tetapi tiada bukti ditemui.

    Ini mendorong Tan membuat rancangan untuk menganiaya isterinya dengan meletakkan dadah di dalam keretanya – menyifatkan perbuatan itu kepada teman wanitanya sebagai ‘rancangan yang sempurna.’

    Tan membeli dadah itu di pasaran gelap dan menimbangnya di rumah, mendapati ia berjumlah 510 gram – melebihi had maksimum 500 gram yang boleh dikenakan hukuman mati di Singapura.

    “Daripada penyelidikannya dalam talian, dia tahu pihak terbabit (isterinya) akan berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengedar lebih 500 gram ganja,” menurut dokumen mahkamah.

    “Dia bagaimanapun memutuskan untuk meneruskan rancangannya kerana dia sangat marah dengan pihak terbabit.”

    Analisis makmal terhadap dadah itu bagaimanapun menunjukkan ia hanya mengandungi 216.17 gram ganja tulen.

    Isteri Tan telah ditahan selepas polis menemui dadah di dalam keretanya, tetapi mereka tidak menemui bukti lain yang menunjukkan dia bersalah.

    Polis kemudian mengalihkan siasatan mereka kepada Tan, yang kemudiannya ditahan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda