LONDON, 20 Jun – Letupan ‘kecil’ yang berlaku di stesen kereta api bawah tanah di London lewat kelmarin telah menyebabkan lima orang cedera, tidak ada yang mengalami kecederaan serius, menurut polis Britain dan menambah kejadian itu berlaku disebabkan litar pintas.
Menurut pihak polis London, mereka menerima panggilan telefon yang memberitahu bahawa berlakunya letupan di stesen Southgate di Utara London.
Pasukan kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian dan stesen tersebut telah ditutup.
“Soal siasat sedang dijalankan bagi mengetahui akibat letupan seperti yang dilaporkan di mana ia hanya letupan kecil. Kami tidak menerima laporan mengenai kecederaan serius,” menurut polis.
“Kami tidak percaya kejadian ini ada kaitan dengan pengganas,” menurut polis pengangkutan Britain dalam satu kenyataan melalui Twitter.
Scotland Yard kemudian berkata, letupan itu berlaku akibat daripada ‘litar pintas bateri.’
Menurut pasukan ambulans London, dua orang telah dibawa ke hospital sementara tiga yang lain dirawat di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan kecil.
Beberapa penumpang yang berada di tempat kejadian menceritakan situasi panik menerusi Twitter.
“Saya berada di Stesen Southgate di mana kekecohan bermula. Saya mula menghidu bau kebakaran (seperti getah) dan menyaksikan orang ramai bergegas untuk keluar daripada tempat itu,” menurut @Nakzokulah. – AFP