AUCKLAND, 20 JULAI – Suasana hening seketika sebelum perlawanan pertama Piala Dunia Wanita bermula hari ini bagi menghormati dua individu yang telah ditembak mati di bandar pasukan tuan rumah, Auckland, hanya beberapa jam sebelumnya.
Pembukaan perlawanan hebat itu dibayangi seketika oleh peristiwa tragis yang menggemparkan New Zealand dan ketika Norway serta tuan rumah melangkah masuk ke padang, kesemua 22 pemain memakai lilitan berwarna hitam sebagai penghormatan.
Penembak itu juga dilaporkan mati dalam insiden yang berlaku berhampiran dengan hotel pasukan juara bertahan Amerika Syarikat (AS), Filipina dan Norway.
Maren Mjelde, kapten Norway, berkata, pasukan mereka yang terletak hanya 300-400 meter dari tempat kejadian tembakan, terjaga dengan bunyi helikopter dan ‘banyak kenderaan kecemasan.’
“Pada mulanya, kami tidak tahu apa yang sedang berlaku, tetapi kemudian ada kemas kini di televisyen dan media tempatan,” katanya dalam kenyataan beberapa jam sebelum perlawanan bermula.
“Semua orang kelihatan tenang dan kami sedang bersiap seperti biasa untuk perlawanan malam ini,” tambahnya. – AFP