LIVERPOOL, 28 NOV – Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Liverpool menewaskan Real Madrid 2-0 kelmarin, memberikan kekalahan ketiga dalam lima perlawanan Liga Juara-Juara kepada juara bertahan itu.
Alexis Mac Allister dan Cody Gakpo menjaringkan gol pada separuh masa kedua, memastikan kemenangan Reds yang mengekalkan rekod sempurna mereka di puncak carta liga.
Sepakan penalti Mohamed Salah juga tersasar, tetapi ia tidak memberi kesan besar kerana Liverpool berjaya mencatatkan kemenangan ke-17 di bawah kendalian Arne Slot dalam 19 perlawanan pertamanya.
Slot telah mencapai sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh Jurgen Klopp sebagai pengurus Liverpool, iaitu menewaskan gergasi Sepanyol tersebut.
Liverpool mempunyai dendam yang perlu dilunas dengan Madrid, yang tidak tewas dalam lapan pertemuan terdahulu antara kedua-dua pasukan, termasuk final Liga Juara-Juara menentang anak buah Klopp pada 2018 dan 2022.
“Awda tahu betapa istimewanya untuk bermain menentang sebuah kelab yang telah memenangi Liga Juara-Juara ini begitu banyak kali, mereka adalah juara bertahan dan telah menjadi duri dalam daging untuk Liverpool berkali-kali,” kata Slot.
Kekalahan itu menyaksikan pasukan Carlo Ancelotti menghuni tempat ke-24 dalam carta.
Hanya 24 pasukan teratas yang layak ke peringkat kalah mati, dengan lapan pasukan teratas mara terus ke pusingan 16 terakhir.
Liverpool berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat itu, dan keyakinan tinggi kini menyelubungi pasukan yang juga mendahului lapan mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris jelas dilihat sepanjang perlawanan di hadapan penyokong sendiri di Anfield.
Madrid dibelenggu masalah kecede-raan yang panjang dan mengadakan perjalanan ke England tanpa Vinicius Junior, Rodrygo, Dani Carvajal, Eder Militao, Aurelien Tchouameni dan David Alaba. – AFP