Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis Dikir Maulud labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Majlis Penutup Dikir Maulud sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW diadakan malam ini di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, menandakan berakhirnya acara Dikir Maulud yang berlangsung selama 12 malam berturut-turut di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

    Majlis penutup disempurnakan di hadapan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Abdul Hamid, diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam. Antara dikir yang dilantunkan termasuk Dikir Assalamualaika, Khairuman, Bisyahrin, Alhamdulillah dan Badad, sebelum diakhiri dengan Dikir Marhaban.

    Tembakan meriam sebanyak 21 das turut dilepaskan oleh Pasukan Tembak Meriam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei semasa bacaan “Ya Habibi” sebagai tanda penghormatan.

    Doa Dikir dibacakan oleh pehin-pehin penyurat, manakala Doa Selamat pula dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Berangkat dan hadir di majlis berkenaan ialah pengiran-pengiran cheteria; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli majlis-majlis mesyuarat; timbalan-timbalan menteri; pengiran-pengiran peranakan; pehin-pehin manteri; manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman; setiausaha-setiausaha tetap; naib-naib canselor; bekas-bekas Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta para jemputan khas.

    Acara Dikir Maulud tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif mengimarahkan Sambutan Maulidur Rasul di negara ini, sebagai tanda kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Majlis Penutup Dikir Maulud yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda