Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan dan jasa baik yang dicurahkan, seramai 104 pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara pada tahun 2023 telah diraikan pada majlis Hari Apresiasi KHEU sempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Tahun 2024 di Songket Ballroom, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis turut meraikan para pegawai dan kakitangan KHEU yang menerima anugerah-anugerah sempena Sambutan HPA iaitu penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA); penerima Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB²PA); penerima Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-34.
Juga diraikan dan diberi penghargaan ialah peserta Bengkel Penyediaan Pelan Strategik KHEU 2025-2029; Pasukan Futsal KHEU yang telah menjuarai Kejohanan Futsal antara Kementerian-kementerian sempena Sambutan HPA ke-31 bagi Kategori Terbuka.
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Dalam ucapannya, Haji Mohammad Rosli menyatakan Hari Apresiasi tersebut menandakan penghargaan terhadap kesungguhan, komitmen dan dedikasi yang tidak terhingga daripada seluruh warga Kementerian dalam menyumbang kepada kemajuan negara, khususnya dalam memperkukuh dan memartabatkan aspek keagamaan, yang menjadi asas utama kepada pembangunan negara yang makmur, harmoni dan berkat ini.
“Kepada lima penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam, syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan.
“Semoga anugerah ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang berterusan, menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk berkhidmat dengan penuh amanah serta berdedikasi.
“Kejayaan ini diharap akan terus memberikan inspirasi kepada seluruh warga KHEU dan perkhidmatan awam lain,” katanya.
Sementara itu, beliau juga memberikan penghargaan kepada lapan penerima Anugerah Hari Guru Tahun 2024. Anugerah itu merupakan simbol pengiktirafan kepada usaha dan pengorbanan mereka yang tidak ternilai dalam mendidik generasi masa depan kita.
Penghargaan turut diberikan kepada ahli Kumpulan Kerja Teknikal yang telah menyertai Bengkel Penyediaan Pelan Strategik KHEU 2025-2029.
“Dengan ketekunan dan visi mereka, hala tuju kementerian bagi lima tahun mendatang telah dirangka dengan teliti demi menjayakan Wawasan Brunei 2035. Saya yakin, setiap langkah penambahbaikan yang dirancang adalah satu usaha murni untuk memperkukuhkan mutu perkhidmatan kementerian demi kesejahteraan ummah dan negara,” tambah beliau.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil bersara kepada mantan pegawai dan kakitangan KHEU dan sijil penghargaan kepada para penerima anugerah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.