Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Seramai 29 pelajar Tahun 6 dan 8 Sekolah Arab Temburong yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran bertempat di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Pekan Bangar, Temburong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pemang-ku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ayop bin Haji Ghani.
Majlis merupakan aktiviti tahunan sekolah yang bertujuan menggalakkan para pelajar untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya dan amalan kehidupan seharian ke arah mendukung hasrat negara bagi melahirkan generasi celik Al-Quran dan menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.
Majlis khatam itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu khas majlis. Acara kemudian diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam.
Manakala Takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh Awang Mohd Farhan Hafizzy bin Mohd Redzuan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban dan kemudiannya penyampaian sijil khatam yang disempurnakan oleh tetamu khas. Acara diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Doa Selamat oleh Awang Muhammad Abdul Hadi bin Haji Bagol.