MELBOURNE, 11 DIS – Kajian penyelidikan dari Australia mendapati bahawa pengambilan makanan ultra-proses (UPF) berkait rapat dengan penuaan biologi yang lebih pantas.
Dalam kajian terbaharu, penyelidik dari Universiti Monash di Melbourne menganalisis diet 16,055 individu dari Amerika Syarikat (AS) berusia 20 hingga 79 tahun yang mempunyai gaya hidup dan tahap kesihatan setanding dengan penduduk di negara-negara Barat lain.
Dapatan kajian menunjukkan bagi setiap peningkatan 10 peratus dalam pengambilan kalori harian daripada UPF, usia biologi seseorang meningkat sebanyak 2.4 bulan.
Usia biologi yang juga dikenali sebagai usia fisiologi atau usia fungsi mengukur sejauh mana usia sel dan tisu dalam tubuh seseorang dan boleh dipengaruhi oleh faktor seperti kualiti tidur, senaman, pemakanan, pengambilan air dan persekitaran fizikal. Sebaliknya, usia kronologi merujuk kepada jumlah masa sejak kelahiran dan tidak berubah.
“Individu dewasa dengan pengambilan makanan ultra-proses yang tinggi cenderung memiliki usia biologi yang lebih tua,” kata kajian tersebut.
UPF merangkumi makanan dan minuman seperti minuman berkarbonat, ais krim, coklat, snek berbungkus manis atau berperisa dan mi segera.
Menurut pengarang utama kajian dari Jabatan Pemakanan, Dietetik dan Makanan Universiti Monash, Barbara Cardoso berkata, “Hasil dapatan kami adalah amat penting. Ini kerana ramalan kami menunjukkan bahawa bagi setiap peningkatan 10 peratus dalam pengambilan makanan ultra-proses, terdapat hampir dua peratus peningkatan risiko kematian dan 0.5 peratus risiko penyakit kronik baharu dalam tempoh dua tahun.”
Kajian itu juga mendapati individu yang mengambil UPF dalam kuantiti tertinggi memiliki usia biologi 0.86 tahun lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil UPF pada tahap terendah. – Xinhua