Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Malaysia sokong hala tuju damai Myanmar di sebalik krisis

    PUTRAJAYA, 17 JAN – Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited menyokong Myanmar dalam merangka laluan ke arah penyelesaian berkekalan terhadap krisis politik dan kemanusiaan yang tercetus susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.

    Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin menegaskan bahawa proses perdamaian Myanmar menjadi keutamaan Malaysia.

    “Usaha ASEAN tertumpu kepada membantu Myanmar menyelesaikan situasi ini.

    “Kami mengiktiraf penyelesaian yang dirangka oleh Myanmar. Bagaimanapun, memandangkan Myanmar adalah anggota ASEAN, adalah tanggungjawab ASEAN untuk membantu Myanmar mencari jalan penyelesaian terhadap situasi semasa,” katanya pada sidang media.

    Tumpuan kini terarah kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, dengan harapan tinggi terhadap peranan negara dalam memacu kemajuan serantau.

    Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin ketika ditemu bual eksklusif mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Wisma Putra pada 14 Januari. – Bernama

    Myanmar berada dalam keadaan bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi, mencetuskan protes besar-besaran yang berkembang menjadi pemberontakan bersenjata.

    Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyatakan bahawa konflik antara Angkatan Bersenjata Myanmar (MAF) dan pelbagai kumpulan etnik serta kumpulan penentang terus berlaku di Rakhine, timur laut, barat laut dan tenggara negara itu.

    Dalam Kemas Kini Kemanusiaan Myanmar, OCHA melaporkan jumlah keseluruhan orang yang dipindahkan di dalam negara (IDP) melebihi 3.5 juta orang pada penghujung 2024.

    Mengenai Konsensus Lima Perkara (5PC) yang bertujuan menangani krisis kemanusiaan di Myanmar, Amran menegaskan bahawa ASEAN bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya.

    “Penilaian telah dilakukan dari semasa ke semasa, termasuk pelantikan Utusan Khas ASEAN ke Myanmar. Usaha ini akan diteruskan,” katanya sambil menambah keperluan memperluaskan usaha tersebut melangkaui penyelarasan intra-ASEAN. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda