Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mangsa ‘palsu’ didakwa menipu

    PARIS, 28 Jun – Seorang wanita berusia 32 tahun yang muncul di mahkamah di Perancis kelmarin dituduh menipu selepas membuat tuduhan palsu menjadi mangsa serangan pejuang jihad di Paris.

    Wanita tersebut mendakwa bahawa dia telah ditembak di bahagian siku atau ibu jari, menurut beberapa laporan yang berbeza semasa serangan yang menyebabkan 130 orang maut dan ratusan yang lain cedera di stadium kebangsaan dan beberapa tempat di Paris pada 13 November 2015.

    Menurutnya lagi, dua daripada kawannya juga terbunuh semasa serangan itu.

    Dia kini berdepan pendakwaan kerana memberikan kenyataan palsu dan melakukan penipuan dengan dana pampasan FGTI Perancis untuk mangsa keganasan yang bernilai sehingga 20,000 euro.

    Wanita yang belum ditahan itu, terlibat dengan persatuan mangsa keganasan, pernah ditemu bual dan digambar oleh AFP pada November 2017 untuk penulisan artikel mengenai mangsa yang terselamat dan juga membuat tatu untuk membantu mengatasi trauma.

    Mahkamah Paris menangguhkan kes tersebut sehingga 19 Julai.

    Kes ini timbul selepas seorang wanita berusia 49 tahun yang menuntut pampasan berjumlah 25,000 euro selepas berlakon menjadi mangsa pembunuhan di dewan konsert Bataclan dan telah dipenjara empat tahun setengah pada Mac lalu.

    Pada Disember lalu, Cedric Rey, pemandu ambulans juga dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana berpura-pura berada di Bataclan di mana dia sebenarnya tidak berada di Paris semasa serangan itu berlaku.

    Dia menerangkan maklumat jelas kepada media mengenai bagaimana dia melepaskan diri apabila seorang wanita mengandung ‘mengambil peluru yang sepatutnya untuk dia’ dan menyebabkan cerita tersebut didedahkan sebagai menipu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda