LOBOC, FILIPINA, 22 DIS – Tumanda meninjau-ninjau sekitar rumahnya yang musnah diliputi lumpur di pulau Filipina dibadai Taufan Rai yang telah mengorbankan ratusan orang di seluruh negara itu dengan mangsa terselamat merayu bagi bantuan makanan dan air.
Rai membadai ke destinasi pelancongan popular Bohol Khamis lepas, membawa hujan lebat, menerbangkan bumbung, menumbangkan pokok dan memusnahkan bot-bot nelayan.
“Rumah saya musnah, semuanya rosak,” rintih Tumanda kepada AFP, ketika dia berdiri di kawasan rumahnya yang hancur di bandar Loboc tepi sungai.
“Tidak ada yang tinggal.”
Kira-kira 98 orang terkorban, kata Gabenor Arthur Yap dalam Facebooknya, sementara 16 lagi hilang.
Yap telah mengemukakan rayuan kepada Presiden Rodrigo Duterte untuk menghantar dana bagi membeli makanan dan air kepada penduduk yang terdesak selepas bekalan elektrik dan telekomunikasi terjejas di seluruh pulau itu.
“Kami memerlukan makanan terutamanya beras dan air,” kata Giselle Toledo, yang rumahnya dihanyutkan oleh banjir.
“Kami tidak dapat menyelamatkan semuanya, kami tidak tahu dari mana untuk memulakan kehidupan kami semula,” katanya.
Rai juga menyebabkan kemusnahan besar di pulau-pulau Siargao, Dinagat dan Mindanao yang dilanda ribut dengan kekuatan angin 195kmsj.
Duterte mengumumkan bencana alam di kawasan dilanda taufan, di mana kira-kira 375 orang terkorban, meluluskan dana bagi usaha bantuan dan memberi pegawai tempatan kuasa untuk mengawal harga. – AFP