Susulan berkecil hati dengan komen diberikan, penyanyi dan juri Famili Duo 4 (FD4) Mas Idayu mempersoalkan tindakan Joey Daud tidak memberi sebarang respons berhubung tegurannya ketika siaran langsung program tersebut.
Kata Mas Idayu, 52, tidak akan timbul sebarang kontroversi sekiranya Joey bersemuka dan terus menjawab ketika dia memberikan komen tentang persembahannya bersama Naqiu.
“Kenapa dia tidak bertanya saya terus pada malam itu? Jika bertanya perkara ini akan habis di situ sahaja.
“Dia kata tidak mahu kontroversi, tetapi bila ditanya media dia yang menjawab. Kalau tak mahu kontroversi lebih baik terus diam,” katanya kepada mStar.
Mas Idayu mengulas perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Harum Mekar Di Hati yang berlangsung di Red Box, The Curve, Petaling Jaya semalam.
Respons itu sebagai menjawab kenyataan Joey meluahkan rasa terkilan dengan komen diterima pada malam separuh akhir FD4 yang berlangsung pada 8 Disember lalu sehingga namanya dan Naqiu diumumkan tersingkir.
Tidak hanya merasakan sudah memberi persembahan terbaik malah Joey juga menyangkal dakwaan dia terlupa lirik semasa menyanyikan lagu Terhangat Di Pasaran (KRU) dan Inilah Nasibku (Nico).
Malah Joey juga mengakui terkejut dengan penyingkiran tersebut kerana merasakan sudah melakukan bersesuaian dengan kehendak FD4.
Menjelaskan hal berkenaan, Mas Idayu memberitahu pemilihan hanya tiga peserta layak ke peringkat akhir adalah di luar bidang kuasanya.
Mas Idayu juga menegaskan isu terlupa lirik bukan alasan pasangan duo itu tersingkir. – Agensi